SEJAK gagal menyekat kemaraan Perikatan Nasional
(PN) di Parlimen baru-baru ini khasnya dalam isu pelantikkan Speaker dan
Timbalan Speaker Dewan Rakyat menggantikan yang dilantik Pakatan
Harapan (PH) sebelumnya, PH terus dilanda krisis.
Gembar-gembur
kononnya PH mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang cukup untuk mematahkan
pengaruh Kerajaan PN ternyata kosong dan bohong belaka. PN kini
memiliki 113 kerusi manakala PH hanya 109, itupun mungkin berkurang lagi
dalam waktu terdekat apabila beberapa Shli Parlimen dijangka mengambil
sikap menyokong PN termasuklah dari Sabah.
Malah hari ini
keupayaan PH sendiri mula dipertikaikan, apabila blok pembangkang mereka
itu telah berpecah dua, iaitu antara PH asal yang dianggotai PKR, DAP
dan PAN dan blok Tun Dr Mahathir yang didokong wakil parti WARISAN dari
Sabah.
Di dalam sebuah wawancara khas dengan akhbar Sin Chew Daily
baru-baru, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengakui bahawa hanya kini baru
beliau sedar yang Tun Dr Mahahtir sebenarnya telah memperdayakan beliau.
Menurut
Anwar dari sejak mula lagi bersama Tun dalam PH beliau menyangkakan
yang Tun sejujurnya akan menepati janjinya dengan menyerahkan jawatan
Perdana Menteri ke beliau selepas tempoh dua tahun setelah kemenangan
PH.
Namun Tun acapkali merubah tarikh yang telah dipersetujui
sehinggalah akhirnya beliau menyatakan kononnya berjanji akan melepaskan
jawatan PM ke Anwar sejurus selesai Persidangan APEC dalam bulan
November.
Rupanya dengan takdir Tuhan, belum sempat November,
pada 24 Febuari Tun tanpa berbincang sesama pimpinan PH telah mengambil
keputusan meletakkan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya sehingga
mengakibatkan Kerajaan PH roboh dan perjanjian yang dimaksudkan menjadi
sia-sia.
Sekiranya Tun tidak meletakkan jawatan Kerajaan PH mungkin masih berkuasa hingga hari ini.
Anwar menafikan bahawa PKR terlibat dalam memaksa Tun melepaskan
jawatannya. Sebaliknya tindakan Tun adalah buatan tangannya sendiri.
Kekecewaan
Anwar itu berasas dan dalam wawancara ini Anwar meluahkan betapa Tun
memang tidak berkenginan melihatnya menjadi PM. Sepatutnya jika benar
Tun berhadapan dengan masalah, ianya wajar dibincang sesama keluarga PH,
dan jika terdesak mahu melepaskan jawatan atas apa sebab sekalipun,
mengapa tidak diserah sahaja pada Anwar?
Mengapa perlu letak jawatan begitu sedang beliau sedar akibatnya Kerajaan PH akan roboh?
Kata
Anwar lagi Tun sesungguhnya perlu bertanggungjawab atas kejatuhan
Kerajaan PH. Tambahnya beliau tidak pasti adakah Tun terlibat dalam
merancang membawa keluar BERSATU dari PH, tetapi pasti ada restunya
dalam insiden ini.
Kerana itu pada hari ini Anwar mengakui walau
kecewa beliau masih bersedia berkerjasama dengan Tun dari blok
pembangkang. Namun demikian beliau sekali-kali tidak akan lagi bersetuju
jika Tun dicalonkan sebagai PM, sebaliknya mendakwa kini calon bakal PM
PH adalah beliau sendiri.
Kata Anwar di dalam wawancara itu lagi, Tun kini sudah tidak lagi mampu meraih sokongan dari kalangan Ahli-ahli Parlimen.
Berdasarkan
perkembangan ini terbuktilah robohnya Kerajaan PH dan naik terbentuknya
kerajaan baru PN benar-benar berpunca dari masalah dan krisis dalaman
PH yang terus berpanjangan dan membara sehingga ke hari ini.
Sudahlah mereka gagal menghadapi asakan PN di Parlimen, mereka pula bertelagah dan berpecah sesama sendiri.
Saban
hari dilaporkan ahli-ahli dan pimpinan PKR dari Semenanjung, Sabah dan
Sarawak berbondong-bondong mengambil keputusan keluar parti kerana tidak
lagi yakin kepada perjuangan dan saf kepimpinan parti.
Malah dalam PAN juga, ahli-ahli termasuk wakil-wakil rakyatnya sedang berura-ura untuk melompat meninggalkan parti serpihan itu.
Selain
Kerajaan Negeri-negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah
yang roboh kerana sokongan PH semakin rapuh di neger-negeri berkenaan,
tidak mustahil dalam waktu terdekat ini Sabah, malah juga Selangor dan
Negeri Sembilan juga berpotensi bertukar tangan.
Lalu bagaimanakah nasib dan masa depan PH sebenarnya dan blok para penyokong Tun?
Yang
pastinya dalam keadaan berkecamuk dan berpecah sedemikian rupa, mereka
sudah tidak lagi mampu mengancam kedudukan kerajaan PN di peringkat
Persekutuan apatah lagi negeri-negeri yang PN kuasai.
Dalam pada
itu rekod menunjukkan mereka juga gagal memberi ancaman pada Muafakat
Nasional dan Perikatan Nasional apabila kecundang berterusan dalam enam
pilihan raya kecil, terakhir di DUN Chini dan kini mereka bakal kalah
lagi dalam Pilihan Raya Kecil DUN Slim di Perak pula.
Anwar
Ibrahim ternyata sudah tiada lagi memiliki aura sebagaimana dahulu.
Rakyat sudah tidak mengindahkan lagi pekikan dan laungan “Reformasi”
beliau. Apatah lagi Tun sendiri dan Mohamad Sabu, langsung tidak
memiliki dukungan rakyat dewasa ini.
Sementara itu DAP pula terus
terencat sejak hilang kuasa secara mengejut dan kini terkedu apabila
Setiausaha Agung mereka naik turun dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) atas isu siasatan rasuah projek terowong Pulau
Pinang.
Kesimpulannya PH sukar bangkit kembali dan jika
kesempatan ini diurus dengan baik oleh MN dan PN, tidak mustahil PH akan
disisihkan rakyat dan akhirnya pupus begitu sahaja dalam PRU15 nanti.
Lantas permuafakatan dan kerjasama dalam MN dan kini PN perlu diperkasakan.
Rundingan dan perbincangan perlu dipertingkatkan. Segala jenis
masalah kecil mahupun besar perlu dicungkil keluar dan di atasi jangan
dijadikan sebagai penghalang arus kebangkitan rakyat hari ini.
PH
dijangka tersungkur, nafsunya kuat tetapi kekuatan tiada, maka ucaplah
selamat jalan buat mereka dan dalam pada itu segera binalah kekuatan
baru buat rakyat demi masa depan negara.- HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan