HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 Ogos 2020

PRK Slim: Penamaan calon aman, lancar

Rosman Shamsudin

AMIR Khusyairi (tengah) bersama Mohd Zaidi (kiri) dan Santharasekaran di pusat Penamaan calon. FOTO Sharul Hafiz Zam

PIHAK polis berharap suasana aman dan lancar ketika hari penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) hari ini dapat dikekalkan sehingga hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, tindakan calon hadir tanpa pengikut dan penyokong ramai menyebabkan urusan penamaan calon berjalan dengan lancar dan terkawal.

Katanya, kawasan penamaan calon hanya dipenuhi oleh pihak polis, pertugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan media.

"Sebelum ini pihak polis berjumpa dengan calon untuk menerangkan tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) ketika hari penamaan calon dan saya berterima kasih kepada mereka kerana semua calon akur dan patuhi.

"Pihak polis sekali lagi akan berjumpa dengan calon yang bertanding dalam PRK DUN Slim untuk memberi penerangan tentang tatacara ketika berkempen terutama membabitkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuatkuasa bagi membendung penularan wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata demekian ketika ditemui di jalan masuk Dewan Sri Tanjung, MDTM, hari ini.

RAZARUDIN Husain. FOTO Rosman Shamsudin
RAZARUDIN Husain. FOTO Rosman Shamsudin

Razarudin berkata, pihak polis akan terus memantau sehingga hari pengundian supaya PRK DUN Slim dapat dijalankan dengan lancar.

"Saya menasihatkan kepada calon atau sesiapa sahaja berhati-hati ketika berkempen dan jangan sesekali menggunakan perkataan kurang baik atau menghina pihak tertentu.

"Patuhilah SOP dan berkempen secara sihat dalam PRK DUN Slim ini demi menjaga keamanan dan kesejahteraan yang menjadi tanggungjawab kita bersama," katanya.

PRK DUN Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Azizi dan dua calong bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Santharasekaran.

Tiada ulasan: