HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Ogos 2020

PRK Slim: Tiada lagi guna sarung tangan, berus calitan – SPR

Mohammad Arif Nizam
MGF14082020_PERSIAPAN-TERAKHIR-PUSAT-PENAMAAN-CALON-PRK-SLIM16-681x454
Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom bercakap pada sidang media 
semasa melawat persiapan terakhir Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya 
Kecil N. 58 Slim menjelang hari penamaan calon pada esok hari di Dewan 
Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI

TANJUNG MALIM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pada hari mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Azmi yang sedang menjalankan tugas Pengerusi SPR berkata, tindakan itu tidak akan lagi melibatkan penggunaan sarung tangan plastik dan berus dalam kalangan pengundi yang dilaksanakan di PRK Chini sebelum ini.

Sebaliknya jelas beliau, penggunaan cecair pembasmi kuman tangan akan kerap digunakan bagi mempercepat proses mengundi.

“Pada hari mengundi, selain diwajibkan memakai pelitup muka dan melalui proses saringan suhu, pengunaan cecair pembasmi kuman akan dilakukan dua kali berbanding sekali di PRK Chini.

“Pengundi perlu melalui penggunaan cecair pembasmi di pintu masuk saluran dan selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi.

“Penambahbaikan ini dilakukan bagi mempercepatkan proses mengundi berbanding memakai sarung tangan plastik dan berus calitan yang mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.

MDTJ merupakan pusat penamaan bagi calon PRK DUN Slim esok.

Mengulas lanjut, Azmi turut mengesahkan sebanyak 12 borang pencalonan sudah dibeli sehingga hari ini.

Namun beliau enggan memperincikan siapa yang membeli kerana kebiasaannya terdapat parti atau bakal calon membeli borang yang lebih.

Dalam pada itu, Azmi juga memberitahu SPR telah menambah seramai 869 kakitangan di Slim berbanding lebih 400 di Chini.

Jelas beliau, tindakan itu dilakukan bagi meningkatkan perkhidmatan pihaknya kepada orang ramai.

Sementara itu, PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

Setakat ini dua calon sudah diumumkan untuk bertanding bagi kerusi DUN tersebut iaitu masing-masing daripada BN dan Bebas.

BN mengemukakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz manakala calon Bebas yang memakili parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air menamakan seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon mereka.

DUN Slim memiliki seramai 23,094 pengundi berdaftar. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: