
Dzaimee Daud bercakap pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan
Imigresen Malaysia menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen didalangi
warga Myanmar di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya. foto MOHD
ADZLAN,
PUTRAJAYA – Lelaki warganegara Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang muncul dalam dokumentari Al Jazeera berjudul Locked Up in Malaysia’s Lockdown akan diusir ke negara asalnya selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud yang memberitahu, penerbangan awal ke Bangladesh adalah pada 31 Ogos ini dan Rayhan berkemungkinan akan menaiki penerbangan itu.
Katanya, siasatan yang dilakukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia ke atas Rayhan juga telah siap dan sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
“Pas lawatannya juga telah ditamatkan dan setelah selesai siasatan ini kita akan hantar ke negara asalnya di Bangladesh,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau turut memberitahu lelaki berusia 25 tahun itu akan disenarai hitamkan dan tidak dibenar lagi masuk ke negara ini untuk selama-lamanya.
Artikel berkaitan: Rayhan Kabir mohon maaf pada rakyat Malaysia
Untuk rekod Rayhan ditahan oleh sepasukan pegawai dari Unit Risikan Operasi Jabatan Imigresen Putrajaya di Setapak, Kuala Lumpur, pada 24 Julai selepas mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing menerusi dokumentari yang disiarkan Al Jazeera.
Rayhan diburu pihak berkuasa selepas mendakwa dalam dokumentari itu bahawa pendatang asing dianiaya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan baru-baru ini.
Dokumentari yang berdurasi 25 minit 50 saat itu dikritik rakyat Malaysia memandangkan ia mengecam layanan kerajaan terhadap pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan langkah-langkah penularan Covid-19.-– MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan