buletinsabah.com
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan
Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan beliau 'sanggup
mati' daripada merelakan mandat rakyat diperlekehkan pihak tertentu.
Kenyataan ketua menteri itu merujuk
kepada insiden cubaan rampasan kuasa pentadbiran negeri Sabah, baru-baru
ini hingga memaksa beliau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan
berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Saya tahu ada kritik kita kenapa adakan pilihan raya, bimbang sangat nyawa manusia.
"Tetapi daripada kita menyerahkan kuasa
kepada mereka secara itu (rampasan dan lompat ADUN), tidak apa bagi
kita, saya sanggup mati, " katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang
media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama wakil rakyat dan
pemimpin Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu, pada Isnin.
Pada 29 Julai lalu, gabungan yang
diketuai oleh Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai jumlah majoriti mudah
untuk menubuhkan satu kerajaan baharu.
Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri
Sabah bagaimanapun terpaksa mengambil keputusan membubarkan Dewan
Undangan Negeri (DUN) selepas diberi perkenan Yang Dipertua Negeri
Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sekali gus memberi laluan kepada PRN.
Sementara itu, mengulas mengenai
persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN), Mohd Shafie mendedahkan kesediaan
Warisan mempertahankan kerusi dimenangi dalam pilihan raya sebelum ini.
"Saya minta kemukakan (calon)… kita
pertahankan kerusi yang telah kita menangi dahulu. Ia bukan hanya untuk
Warisan tetapi juga UPKO, DAP dan PKR,” tegasnya.
Jelas beliau lagi, pihaknya akan mengumumkan pengagihan kerusi dan senarai calon parti itu dalam tempoh terdekat.
Ia termasuklah kesediaan bertanding dalam 13 kerusi baharu yang dipertandingkan pada PRN Sabah kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan