HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 Ogos 2020

Wan Fayhsal ketua baru Armada

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dipilih sebagai ketua Pemuda Bersatu (Armada), dalam pemilihan semalam.

Dia menewaskan pesaing tunggalnya, Muzzammil Ismail yang merupakan exco Armada.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Syed Hamid Albar dalam kenyataan semalam.

Kedudukan naib ketua pula dimenangi Ceasar Mandela Malakun yang menewaskan empat calon lain, iaitu Ashraf Mustaqim Badrul Munir, Anas Akashah Nazri, Adam Asmuni dan Muhammad Syafiq A Aziz.

Pemilihan yang diadakan itu adalah bagi penggal 2019-2022.

Wan Fayhsal dalam kenyataan ringkas di Facebook menyuarakan penghargaannya dan berkata akan melakukan yang terbaik buat sayap pemuda Bersatu itu.

"Terima kasih atas amanah yang begitu besar ini. Insya-Allah saya akan berikan yang terbaik untuk Armada dan anak muda.

Fokus kita ialah penyatuan Armada dan Bersatu sendiri, dan mulakan kerja segera demi rakyat Malaysia," katanya.

Jawatan ketua Armada sebelum ini disandang oleh bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - di mana Wan Ahmad Fayhsal menjadi pegawai khasnya ketika itu.

Syed Saddiq turut bertanding bagi mempertahankan jawatan tersebut sebelum dipecat daripada Bersatu.

Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini mengundang kritikan setelah berkata dia dapat "permudahkan" urusan untuk membantu ahli Armada melalui exco-exco yang bakal dilantik.

Kenyataan tersebut dirakam ketika dia berkempen bersama Armada Pahang bagi pemilihan semalam.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata pemilihan julung kali ini disertai 9,469 perwakilan yang membuang undi semasa persidangan bahagian Armada.

"Daripada 173 bahagian Armada yang layak bersidang hari ini (semalam), 164 bahagian telah berjaya mengadakan persidangan manakala sembilan bahagian gagal kerana tiada korum," katanya.

Tiada ulasan: