MALAYSIAKINI
Bukan menunjukkan kelemahan kerajaan, tetapi membuka peluang untuk orang ramai beramal - itu kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mengenai langkah orang awam mengeluarkan sumbangan kepada masyarakat.
Kata Sanusi kerajaan negeri memang sentiasa mengalu-alukan NGO atau sesiapa saja tampil membuat sumbangan.
Menurutnya ia dibuat sebagai semangat kesukarelaan sekali gus meringankan beban kerajaan menangani wabak Covid-19.
"Pembangkang patut cari modal lain untuk main politik berkaitan perkara ini.
"Saya tak fikir ia (orang awam memberi sumbangan) satu kesalahan atau satu kelemahan," katanya seperti dipetik portal BH Online.
Sanusi yang juga Adun PAS untuk kawasan DUN Jeneri berkata demikian semasa mengulas tindakan seorang pendakwah bebas yang juga ahli perniagaan, Ebit Lew, menyalurkan bantuan kepada dua penjara di Kedah baru-baru ini.
Pada 8 Okt lalu, Lew memaklumkan di Facebook, dia menerima surat daripada Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia dan Penjara Pokok Sena yang memohon bantuan buat warga penjara yang dikuarantin di situ.
Justeru itu, pendakwah bebas itu mengusahakan sumbangan barang keperluan untuk 200 orang yang dihantar melalui lori.
Antara sumbangan yang disampaikan termasuk 200 tilam, 200 bantal, tuala dan cadar, 10 biji kipas, 2,000 penghadang muka dan barangan makanan dan keperluan asas.
Jabatan Penjara semalam mengeluarkan kenyataan berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang mempolitikkan bantuan yang diberikan Lew.
"Kerajaan negeri mengalu-alukan semua NGO atau sesiapa sahaja untuk melakukan sumbangan termasuk Ustaz Ebit Lew yang membantu Penjara Alor Setar dan Penjara Pokok Sena atas semangat sukarelawan bagi meringankan beban kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19," kata Sanusi.
Dia juga berkata aset kerajaan mencukupi untuk menghadapi situasi biasa namun apabila keadaan luar jangka seperti sekarang berlaku, bantuan NGO amat digalakkan.
"Prosedur perolehan aset kerajaan agak ketat dan ambil masa, jadi bagi situasi yang luar jangka ia perlukan disegerakan, justeru sumbangan NGO adalah dialu-alukan.
"Kita di Kedah sebelum ini pun ada sumbangan peralatan kepada Hospital Sultanah Bahiyah daripada Kelab Lion," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan