HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Oktober 2020

Hadis nabi tentang gila kuasa

 Dr. Ahmad Sanusi Azmi -

 

Terjebak dengan kejahatan, suka mencari keaiban manusia

1. DUA orang lelaki pernah bertemu Rasulullah ﷺ lalu meminta daripada baginda supaya diberikan kuasa sebagai pemimpin. Rasulullah ﷺ menegur mereka dengan berkata:

إِنَّا لاَ نُوَلِّي هَذَا مَنْ سَأَلَهُ، وَلاَ مَنْ حَرَصَ عَلَيْهِ

“Kami tidak memberikan urusan kepimpinan ini kepada siapa yang memintanya, kami juga tidak berikan kepimpinan buat mereka yang terlalu bersungguh mendapatkannya.” (HR al-Bukhari)

2. Seorang tokoh sufi yang terkenal pernah berpesan bahawa sifat gilakan kuasa ini akan merosakkan peribadi seseorang. Sifat gilakan kuasa menyebabkan seseorang akan menjadi hasad dengki bahkan suka mencari keaiban manusia lain. Kata Fudail ibn Iyyad:

ما من أحد أحب الرئاسة إلا حسد وبغى ، وتتبع عيوب الناس ، وكره أن يُذكر أحد بخير

“Tidak ada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia akan terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan dia benci untuk menyebut kebaikan orang lain.”

3. Malah Abu Daud al-Sijistani melihat sifat ini sebagai salah satu daripada penyakit atau menggelarkannya sebagai syahwat yang tersembunyi. Beliau pernah ditanya tentang nafsu atau syahwat yang tersembunyi ini:

قيل لأبي داود السجستاني: ما الشهوة الخفية؟ قال: حب الرئاسة.

“Abu Daud pernah ditanya berkenaan dengan apa yang dimaksudkan dengan nafsu syahwat yang tersembunyai ini? Lalu dia berkata: (mereka yang) cintakan kuasa.

4. Atas dasar itu al-Imam Abu Ayyub al-Sakhtiyani berpesan bahawa mereka yang cintakan kemasyhuran dan kepimpinan ini adalah mereka yang sukar dipercayai. Kata beliau:

ما صدق عبد قط فأحب الشهرة

“Tiada yang benar langsung buat si hamba yang mencintai kemasyhuran.”

5. Berhati-hatilah dengan mereka yang terkena penyakit ini. Kecintaan terhadap kuasa akan mengaburi mereka dari kebaikan. Adalah dibimbangi kepentingan diri sendiri lebih mereka utamakan dari kesusahan rakyat. Amat sukar mencari pemimpin yang bangkit mengutamakan rakyat dari diri sendiri.

Semoga Allah membimbing kita

* Dr. Ahmad Sanusi Azmi - Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Tiada ulasan: