ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
TINDAKAN kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi seluruh Negeri Selangor, Putrajaya dan
Kuala Lumpur mulai tengah malam ini sehingga 27 Oktober sebagai langkah
memerangi dan mengawal pandemik COVID-19 demi keselamatan dan jaminan kesihatan rakyat sangat di alu-alukan.
Semalam
kes-kes baru yang dicatatkan bagi ketiga-tiga wilayah adalah Selangor
69, Wilayah Persekutuan Putrajaya 2 dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
28.
Walaupun jumlahnya kurang dari 100 namun menurut Ketua
Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bilangan kes-kes baru
ini dijangka meningkat dan tindakan memperkenalkan PKPB ini menurut
beliau adalah langkah terbaik untuk memutuskan rantaian wabak ini.
Rakyat jelata di kawasan yang dimaksudkan rata-rata memahami tindakan tegas pihak kerajaan malah dijangka memberi kerjasama penuh memandangkan penularan wabak ini hanya akan merugikan semua pihak sebagaimana dialami negara-negara lain.
Ini bukan masanya untuk bermain politik atau menuding jari, malah semua pihak sewajarnya memberikan galakkan dan kerjasama agar PKPB ini dipatuhi demi masa depan yang lebih baik dan selesa buat semua.
Tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang mempertikaikan langkah Putrajaya ini sangat dikesali. Menurut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shaari ancaman wabak ini hanya melibatkan beberapa daerah di Selangor sedangkan beberapa daerah lain seperti Kuala Selangor dan Sabak Bernam masih terkawal, oleh itu menurut beliau menguatkuasa PKPB untuk seluruh negeri seolah tidak wajar.
Adakah kita mahu menunggu seluruh Selangor berzon merah baru mahu kita menguatkuasakan PKPB? Tidakkah Menteri Besar memikirkan keselamatan dan kebajikan rakyat, anak-anak kita dan warga emas?
Sementara itu pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang pula menganggap langkah Putrajaya itu sebagai melampau dan tidak rasional serta menghukum rakyat Selangor dan KL. Tambah Lim tindakan drakonian PKPB yang mengenakan sekatan penuh pergerakan memberikan kesan buruk kepada ekonomi.
Kenyataan Lim cukup tidak bertanggungjawab kerana PKPB sesungguhnya hanya fokus kepada kawalan pergerakan berkaitan majlis sosial sedangkan sektor ekonomi terus dibenarkan beroperasi mengikut keperluan. Kalaupun sedikit terjejas namun demi kebaikan semua kita yakin rakyat akan terus beri kerjasama.
Di saat rakyat tertekan dengan pandemik ini masih ada pihak yang tidak membantu dan malah menangguk pula di air keruh seolah mahu mengambil kesempatan politik dalam perkara yang tidak sepatutnya dipolitikkan.
Semoga rakyat sedar dan dapat melihat pihak manakah yang sebenarnya jujur dan meletakkan nasib dan masa depan mereka di hadapan dan pihak mana pula yang sepenuh masa bermain politik walaupun kehidupan rakyat terjejas. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan