HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Oktober 2020

Kem Mahathir fail 5 usul tak percaya terbaru terhadap Muhyiddin.

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan penyokongnya memfailkan usul tidak percaya terbaru terhadap Muhyiddin Yassin dalam usaha menjatuhkannya sebagai perdana menteri.

Langkah itu dilakukan ketika keretakan mulai melanda kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila Umno mengancam untuk menarik sokongan daripada gabungan itu.

Selain Mahathir, pemimpin lain yang mengemukakan usul serupa adalah Anggota Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah; Mukhriz Mahathir (Jerlun), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Amiruddin Hamzah mengesahkan bahawa beliau telah memfailkan usul itu semalam.

"Saya telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berkenaan Usul Tidak Percaya terhadap YAB Perdana Menteri bertarikh 15 Oktober 2020 untuk sesi sidang parlimen yang akan datang.

"Usaha ini adalah demi menjunjung prinsip mengembalikan mandat rakyat dalam PRU14 dan solidariti atas sebuah kerajaan yang tidak kompeten dan stabil. Bagaikan telur di hujung tanduk," katanya dalam satu kenyataan.

Persidangan Dewan Rakyat akan bermula pada 2 November.

Mahathir sendiri sebelum ini cuba mengemukakan usul tidak percaya dalam dua sesi di Dewan Rakyat terhadap Muhyiddin.

Bagaimanapun disebabkan amalan parlimen yang mengutamakan usul dan rang undang-undang kerajaan berbanding pembangkang, ia tidak dapat dibentangkan untuk undian.

Persidangan November ini akan menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021, yang juga boleh menentukan sokongan terhadap Muhyiddin.

Amiruddin, yang menyerahkan surat kepada speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, mengemukakan usul tersebut bagi menentukan apakah Muhyiddin masih mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Surat yang sama turut dihantar oleh Mahathir, Mukhriz, Maszlee dan Shahruddin.

Pada masa ini, Muhyiddin memperoleh sokongan 113 anggota parlimen daripada jumlah keseluruhan 222 anggota parlimen.

Ini bermaksud kerajaan pimpinannya akan tumbang sekiranya ada tiga anggota parlimen melompat parti.

Hamzah, Mukhriz, Maszlee dan Shahruddin merupakan penyokong Mahathir yang keluar daripada Bersatu selepas menentang kerjasama Muhyiddin dengan Umno untuk membentuk kerajaan PN.

Mereka kemudian menubuhkan parti baru yang dinamakan Parti Pejuang Tanah Air.

Tiada ulasan: