HALAMAN SANTAI

Jumaat, 9 Oktober 2020

Penganalisis politik persoal kejujuran Kit Siang

HARAKAH DAILY

Berterusan label 'ahli politik pintu belakang' dan tuduh punca penularan COVID-19

KUALA LUMPUR: Reaksi sepantas kilat pimpinan DAP, Lim Kit Siang yang bersetuju agar laluan diberikan kepada calon WARISAN untuk menang tanpa bertanding dalam PRK Batu Sapi dipersoal Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) ini mempertikaikan kejujuran Kit Siang yang disifatkan beliau akan memberikan reaksi sebaliknya jika kerusi tersebut dimiliki oleh lawan DAP dari Umno, BERSATU, PAS, MCA, PBS dan STAR.

Menurut Dr Kamarul, beliau menjangkakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu akan membantah sebarang pandangan untuk memberi kemenangan percuma kepada pihak lawan partinya sebagai ketidakadilan dan bertentangan realiti sokongan.

Malah, pemimpin veteran itu dijangka Dr Kamarul akan tetap mahu PRK dilangsungkan dengan menggesa prosedur operasi standard (SOP) baru yang lebih diperketatkan jika ada pihak memberi pandangan berkaitan kesihatan dan keselamatan.

Bahkan kata Dr Kamarul, peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak-Hak Manusia Sejagat serta faktor perbezaan majoriti kecil di Parlimen ketika ini juga dijangka menjadi hujah pemimpin senior itu.

Kit Siang kelmarin menyatakan persetujuan tersebut setelah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Andrew Khoo mencadangkan kemenangan tanpa bertanding kepada calon WARISAN.

Kata Kit Siang, ianya penting demi kesihatan dan keselamatan para pengundi di kawasan tersebut terutama dari Sandakan serta rakyat Sabah dan Malaysia yang dirujuknya kepada isu peningkatan penularan COVID-19 ketika ini.

“Marilah kita tunjukkan kepada seluruh dunia, yang pemimpin politik di Malaysia juga mampu untuk belajar daripada kesilapan masa lalu dan boleh menjadi inspirasi serta tauladan baik untuk menggerakkan semua rakyat, tanpa mengira latar belakang parti politik, kepada usaha memenangi peperangan melawan wabak COVID-19,” ujarnya.

Pemimpin DAP ini sepertimana kenyataannya sebelum-sebelum ini tetap menuduh Langkah Sheraton sebagai punca gelombang kedua pandemik COVID-19 di negara dan mendakwa tertubuhnya ‘kerajaan pintu belakang’.

Malah, Kit Siang terus menerus membuat dakwaan bahawa gelombang ketiga ketika ini adalah berpunca daripada ‘ahli politik pintu belakang’ yang cuba membawa kepada kejatuhan Kerajaan Negeri Sabah.

Kerusi Parlimen P.185 Batu Sapi sebelum ini disandang WARISAN melalui Dato’ Liew Vui Keong yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) semasa pemerintahan Pakatan Harapan.

Mendiang bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat jangkitan paru-paru pada di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu pada 2 Oktober minggu lalu. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: