HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Oktober 2020

UMNO tarik balik sokongan jika rundingan gagal

MalaysiaGazette
MGF100719_SIDANG-DEWAN-RAKYAT26-681x454
Mohamed Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz percaya UMNO sedang berunding dengan pemimpin Bersatu untuk memperjuangkan hubungan kerjasama yang lebih saksama.

Mohamed Nazri juga berpendapat bahawa UMNO akan menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya rundingan tersebut gagal mencapai kesepakatan.

Beliau juga melihat rundingan itu merupakan “peluang terakhir” yang diberi UMNO kepada Bersatu.

“UMNO akan berunding dengan Bersatu dan mengemukakan syarat baharu. Jika syarat itu ditolak, maka perpecahan akan berlaku,” katanya kepada Sinchew Daily.

Mohamed Nazri juga menyokong penuh pertimbangan Biro Politik UMNO untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin kerana Bersatu sedang membuli UMNO.

“Kami tidak berpuas hati kerana Bersatu adalah parti yang tiada akar umbi, tetapi mereka mahu menjatuhkan UMNO dan melemahkan Muafakat Nasional.

“Bersatu telah kalah di Tanjung Piai sebelum ini kerana mereka tiada sokongan akar umbi,” kata Mohamed Nazri.

Beliau berharap UMNO akan berbelah daripada Bersatu sekiranya kedua-dua parti gagal mencapai persetujuan berhubung syarat yang dibincangkan.

“Kami tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang, tetapi kami akan lawan tidak kira satu lawan satu, dua lawan satu atau tiga lawan satu.

“Bersatu telah ‘mencuri’ 15 wakil rakyat UMNO, merampas jawatan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Besar Perak, malahan membolot jawatan ketua-ketua kampung.

“Walaupun jumlah Ahli Parlimen UMNO adalah lebih ramai, tetapi lebih ramai orang Bersatu yang menjadi menteri. Ini juga sebab UMNO tidak berpuas hati,” katanya.

Mohamed Nazri berkata, syarat yang diletakkan UMNO tidak termasuk menarik balik dakwaan di mahkamah ke atas pimimpin UMNO.

“UMNO berharap kerajaan jangan mendakwa secara selektif, tetapi harus siasat semua pemimpin yang ada kes termasuk video seks dan mereka yang didakwa menggunakan duit untuk menarik wakil rakyat lompat parti,” katanya.

Menurutnya, UMNO tidak akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri seterusnya dan tidak akan bekerjasama dengan DAP atau Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun juga tidak bersetuju dengan tindakan Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu mengusulkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Parlimen.

Jelasnya, dalam sejarah Parlimen, tidak pernah ada usul tidak percaya yang berjaya dibahaskan.

“Jika mahu menggulingkan Perdana Menteri, boleh undi tidak sokong ke atas kelulusan bajet atau rang undang-undang lain.

” Cadangan saya ialah tak perlu undi tak percaya ke atas PM kerana ia sukar direalisasikan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: