HALAMAN SANTAI

Ahad, 15 November 2020

Adun Amanah lompat ke PKR?

Malaysiakini

Adun Meru dan naib ketua Pemuda Amanah, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dispekulasikan meninggalkan partinya untuk menyertai PKR.

Fakhrulrazi dikatakan menyertai PKR pada September di bawah bahagian Petaling Jaya.

Bagaimanapun, sumber dari Amanah menegaskan bahawa Fakhrulrazi belum meninggalkan parti mereka secara rasmi.

"Kami mempunyai persefahaman di antara parti-parti Pakatan Harapan bahawa kami tidak akan menarik ahli dari parti rakan.

"Kepimpinan kami sedang berbincang dengan rakan-rakan PKR untuk menyelesaikannya," kata sumber Amanah yang meminta untuk tidak disebutkan namanya.

Ketika dihubungi, Fakhrulrazi enggan mengulas sama ada dia meninggalkan Amanah dan telah menyertai PKR atau tidak.

"Tidak ada komen dulu (buat masa ini)," katanya kepada Malaysiakini.

Percubaan untuk menghubungi Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, yang bertanggungjawab berhubung keahlian parti, tidak berjaya.

Fakrulrazi, lahir pada tahun 1978, disabitkan dan didenda RM1,800 pada tahun 2016 kerana mengucapkan kata-kata hasutan semasa perhimpunan #KitaLawan pada tahun 2015.

Sebelum bergabung dengan Amanah pada akhir tahun 2015, beliau adalah bendahari Pemuda PAS.

Amanah memenangi sembilan kerusi di dewan perundangan Selangor semasa pilihan raya 2018.

Parti itu memecat Ahmad Mustain Othman, Adun Sabak, awal tahun ini.

*Laporan tambahan oleh Hidir Reduan Abdul Rashid dan Andrew Ong.

Tiada ulasan: