Wan Syamsul Amly
Akar
umbi mahu tahu apakah nasib Ahmad Zahid yang berdepan puluhan
pertuduhan di mahkamah dan kesan ke atas UMNO yang menjadi penentu
hidup
atau mati parti keramat orang Melayu itu. - Gambar fail
UMNO sudah
melalui zaman kejatuhannya sebelum ini. UMNO juga dikatakan sedang
menjalani fasa membetulkan diri dan cuba naik kembali dalam pelbagai
strategi serta peranan pemimpin mereka.
Kerjasama
parti Melayu paling lama negara itu dengan beberapa parti, termasuk
yang pernah menghumban mereka keluar dari Putrajaya, menimbulkan
pelbagai persepsi.
Ia
sebenarnya memberi impak yang pelbagai dari semua perspektif serta
pendapat positif dan negatif sekali gus membuka pelbagai andaian
penganalisis politik kepada masa depan parti itu sendiri.
Namun,
naluri parti mungkin dijentik apabila Tan Sri Annuar Musa menyatakan
UMNO perlu sedar diri dan tidak berhak mempersoalkan layanan diterima
parti itu dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Kadang-kadang
kita masih dalam kepompong. Kita rasakan UMNO sekarang masih macam UMNO
dahulu yang mana kita perlu dilayan begini dan begitu.
"Kita
lupa kita datang dari parti yang telah jatuh, dah kalah, tetapi secara
berperingkat kita bina semula kekuatan. Jika bercakap soal layanan,
layanan macam mana yang kita mahu," jelas Annuar semasa diwawancara
portal parti itu baru-baru ini.
Teguran
Annuar itu sebenarnya cukup berani dan jelas agar UMNO tidak mendabik
dada sebagai seorang 'Abang Besar' yang sebelum ini menjadi pemutus
keputusan untuk kerajaan - realitinya hari ini, UMNO sudah kalah dan
jatuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Annuar
sendiri pasti sudah menjangka dicemuh dengan kenyataannya yang
seolah-olah berpihak kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),
Ahli Parlimen Ketereh itu juga tentunya sedar sejak sehari dua ini
menjadi topik perbincangan pelbagai pihak di dalam parti termasuk di
laman sosial yang mendakwanya kini mendahului Presiden UMNO, Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam isu taktikal serta dasar parti.
Tindakan
Annuar ini membuka semula ruang perbezaan pendapat serta persepsi di
kalangan pemimpin UMNO. Pada saat PRU15 dikatakan mahu diadakan juga
dalam prosedur operasi standard (SOP) selepas beberapa negara lain
berjaya menjalankan proses pengundian, situasi pasti menjadi lebih rumit
untuk UMNO memberi penerangan kepada rakyat dalam menuju hari
pembuangan undi.
Masih kabur
Rakyat
di bawah masih kabur, masih perlu dijelaskan dalam pelbagai isu dalaman
parti agar mereka tidak membuat pendapat sendiri di kedai kopi yang
mungkin menjadi isu besar dan lebih menyedihkan tidak benar sama sekali.
Akar
umbi mahu tahu apakah nasib Ahmad Zahid yang berdepan puluhan
pertuduhan di mahkamah dan kesan ke atas UMNO yang menjadi penentu hidup
atau mati parti keramat orang Melayu itu.
Tiga
juta ahli UMNO juga mahu jelas terhadap nasib bekas presiden, Datuk
Seri Najib Razak yang membawa imej besar dalam parti walaupun sudah
didapati bersalah dalam kes melibatkan SRC International Sdn Bhd.
Mereka
juga ingin tahu apakah susulan khabar angin yang mengatakan langkah
Najib serta sokongan untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimana
tidak, migrain ahli UMNO perlu dicari penawar untuk menjelaskan
cadangan bersama dengan Anwar dalam sebuah kapal yang bernama kerajaan
selepas berpuluh-puluh tahun bergasak untuk menewaskan ikon reformasi
itu sejak zaman Pakatan Rakyat (PR) sehingga ke Pakatan Harapan (PH).
Pada
saat menanti apakah tindakan Ahmad Zahid, bagaimana strategi yang akan
digunakan, teori apa yang perlu diaplikasi untuk membawa UMNO melayari
bahtera bersama kesetiaan kepada seorang nakhoda, orang nombor dua,
Datuk Seri Mohamad Hasan pula dilihat sepi tanpa berita.
Bekas
Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga seolah-olah tidak melakukan
apa-apa usaha untuk mengembalikan keyakinan pengundi selain penerangan
hala tuju UMNO.
Masih senyap
Selain Ahmad Zahid dan Mohamad, panglima-panglima lain dalam UMNO juga perlu dipertikai kerana senyap seribu bahasa kini.
Apakah
mereka sudah terlampau selesa dalam dunia masing-masing tanpa
memperdulikan rintihan serta keresahan ahli yang semakin lama semakin
keliru dengan apa yang sedang dan bakal berlaku?
Ahli
bawahan ini juga sudah tersekat langkah dan tidak tahu apa lagi yang
mahu diceritakan kepada rakyat terutama orang Melayu untuk menerangkan
langkah susulan yang mahu dilakukan panglima-panglima parti demi masa
depan yang lebih baik.
Menteri-menteri
UMNO seperti Datuk Seri Ismail Sabri juga masih belum membuat penjelasan
kepada akar umbi UMNO dalam isu hala tuju parti walau tidak dinafikan
tampil hampir setiap hari di kaca televisyen dalam isu penerangan usaha
menangani COVID-19.
Ahli UMNO juga
menanti apakah langkah seterusnya Datuk Seri Hishammuddin Hussein
setelah tidak mahu bertanding pada pemilihan UMNO sebelum ini selepas BN
kalah pada PRU yang lalu.
Mereka melihat
Hishammuddin saban hari terlalu sibuk dengan kerja-kerja di
kementeriannya sehingga ahli-ahli UMNO ternanti-nanti maklumat dan
strategi untuk mula bekerja menuju PRU15.
Situasi
bertambah parah apabila beberapa menteri UMNO di dalam kerajaan PN yang
sudah dicop 'berwajah UMNO tetapi berjiwa Bersatu' seperti dilabel ke
atas Datuk Dr Noraini Ahmad dan Khairy Jamaluddin yang masing-masing
menerajui kementerian penting pada masa ini.
Realitinya,
akar umbi UMNO terpinga-pinga menantikan strategi, pelan tindakan dan
hala tuju daripada pimpinan parti itu untuk digembelingkan dalam usaha
mereka untuk kembali menang pada PRU akan datang, setidak-tidaknya
mencatatkan prestasi lebih baik berbanding PRU14!
Keputusan
lebih baik tentu mengembalikan kepercayaan rakyat yang satu masa dahulu
melihat UMNO sebagai parti pemerintah dan boleh membantu akar umbi
dalam pelbagai aspek.
Inilah masa paling
tepat untuk bermuhasabah, mengenang kembali nasib, belajar dari sejarah
serta menilai kembali kepimpinan teraju utama parti hari ini bukan lagi
pimpinan yang layak untuk membawa UMNO kembali ke era kegemilangannya.
Jika
tetap gagal, status 'Abang Besar' yang pernah dipegang akan menjadi
lipatan sejarah selain diambil alih oleh Bersatu atau Pas.
Parti
selain UMNO itu juga berpotensi untuk mendapat tempat di hati rakyat
yang mahukan pemimpin yang bersih, kompeten dan mampu menyatukan semua,
tidak kira parti atau kaum di negara ini.
*
Wan Syamsul Amly ialah wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan
lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan