Nursyazwani Saiful Sham
Abdul Ghani berkata satu tarikh lain akan ditetapkan bagi PRK tersebut. Foto: Bernama
KUALA LUMPUR :
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebarang proses dan
prosiding yang telah bermula bagi perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Batu Sapi tidak akan diteruskan.
Pengerusinya,
Datuk Abdul Ghani Salleh, dalam satu kenyataan menjelaskan satu tarikh
lain akan ditetapkan bagi PRK tersebut susulan pengisytiharan darurat
oleh Yang di-Pertuan Agong.
"SPR
mengambil maklum akan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana
Menteri dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1)
Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu ordinan
dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh
yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK P.185 Batu Sapi, Sabah
selepas diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda," jelasnya.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah.
Datuk
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata,
Al Sultan Abdullah bertitah, amatlah wajar Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu
Sapi dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan
kesejahteraan negara.
Sementara
itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa
darurat yang diisytiharkan di Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah tidak akan
menjejaskan kehidupan rakyat di Batu Sapi.
Ini kerana jelasnya, tindakan itu hanya bertujuan untuk membatal dan menangguhkan PRK Batu Sapi demi melindungi nyawa rakyat.
Sebelum
ini, PRK Parlimen Batu Sapi perlu diadakan susulan kematian
penyandangnya Datuk Liew Vui Keong daripada Warisan pada 2 Oktober lepas
dan SPR menetapkan 23 November ini sebagai tarikh penamaan calon, 1
Disember sebagai tarikh mengundi awal dan 5 Disember sebagai tarikh
mengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan