Astro Awani
HANS:
Berhubung sebarang pencalonan untuk PRU15 di Ampang, ia terpulang
kepada Presiden, parti dan masyarakat Ampang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Susulan pemecatan bekas Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin daripada
parti tersebut, PKR kini tidak mempunyai wakil rakyat di kerusi Parlimen
Ampang.
Pada Isnin, timbul pula
spekulasi bahawa bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac akan diketengahkan di kerusi tersebut
pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Astro AWANI sempat menghubungi Hans bagi mendapatkan pengesahan dan perincian lanjut mengenai pencalonannya itu.
Hans
yang juga merupakan ahli PKR itu berkata ia terpulang kepada parti dan
juga masyarakat setempat sama ada mahu memilihnya sebagai calon atau pun
sebaliknya.
Jelas beliau, objektifnya pada ketika ini adalah untuk memberikan fokus untuk membantu masyarakat di Ampang.
“Objektif saya adalah untuk terus memberikan fokus bagi membantu masyarakat di Ampang.
“Berhubung
sebarang pencalonan untuk PRU15 di Ampang, ia terpulang kepada
Presiden, parti dan masyarakat Ampang,” katanya menerusi mesej WhatsApp
kepada Astro AWANI pada Selasa.
Beliau
berkata pasukannya dikenali “Kita Budak Ampang” memberikan fokus kepada
program sosial bagi membantu masyarakat di situ dan mereka menghargai
segala sokongan serta bantuan yang dihulurkan.
Bagaimanapun,
katanya, politik arus perdana Malaysia memerlukan barisan pemimpinan
baharu kerana ia seolah-olah didominasikan oleh ramai ahli politik yang
lebih berusia.
“Kita mempunyai individu lama yang sama dalam arena politik dan itulah sebab rakyat Malaysia tidak berminat dengan politik.
“Kita
memerlukan perubahan untuk masa depan yang lebih cerah tetapi ia
merupakan tanggungjawab kita untuk memilih dan membuat perubahan
tersebut.
“Saya faham rakyat kecewa,
tetapi kita tidak boleh berputus asa dan ia sememangnya hak kita untuk
memilih jalan yang betul,” katanya.
Untuk rekod, kerusi Parlimen Ampang merupakan kubu kuat PKR sejak PRU ke-12 pada 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan