KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan Parlimen secara hibrid hanya satu helah bertujuan untuk melengah-lengahkan sidang Parlimen yang sebenar.
Justeru, Parlimen mesti bersidang secara bersemuka seperti biasa demi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk membolehkan semua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang membahaskan isu yang lebih mustahak.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, sidang Parlimen hibrid tidak akan membawa sebarang manfaat kepada semua pihak jauh sekali menjadi keperluan ketika ini.
“Dari segi keutamaannya, titah Seri Paduka iaitu Parlimen mesti bersidang segera. Paling penting, Parlimen mesti bersidang seawal Ogos dan sebenarnya, Julai pun boleh bersidang berbahas dan menentukan hala tuju.
“Rasionalnya, Parlimen adalah tempat suara-suara rakyat boleh dikumpul untuk menentukan dasar-dasar. Malah, hala tuju kerajaan juga boleh dipersoalkan,” katanya semasa sesi langsung di Facebooknya bertajuk ‘Parlimen: Hibrid atau Penuh?’ di sini malam ini.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun baru-baru ini mencadangkan supaya sidang Parlimen hibrid diadakan akhir Ogos atau minggu pertama September.
Terkini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kaedah sidang Parlimen belum diputuskan kerajaan sama ada akan berlangsung secara fizikal atau hibrid.
Dalam pada itu, Fahmi turut mempersoalkan berkenaan satu sidang khas Parlimen pada awal Ogos yang dicadangkan Rais untuk semua wakil rakyat mengambil bahagian bagi meminda Peraturan Mesyuarat untuk membolehkan sidang hibrid.
“Beliau (speaker dewan) nak panggil wakil rakyat kena hadir secara fizikal dan bila sampai sini (Parlimen), jumpa lebih kurang setengah hari macam itu untuk luluskan apa? Hanya untuk meluluskan beberapa perkara untuk sidang hibrid sahaja. Sudah panggil (ahli Parlimen) datang ke Kuala Lumpur pada awal Ogos, buat sahajalah sidang Parlimen penuh.
“Kalau ingat lagi pada tahun lepas semasa pembentangan belanjawan, waktu itu ahli Parlimen yang dikuarantin tetapi dibenarkan hadir untuk undi dengan memakai set pakaian perlindungan diri (PPE). Tapi sekarang tak terfikir pula di fikiran mereka (cara itu),” katanya.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan dakwaan kerajaan takut terhadap usul undi percaya dan tidak percaya jika Parlimen bersidang, beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas.
Katanya, pada 17 Disember tahun lalu yang menjadi sidang terakhir Parlimen, di dalam aturan urusan mesyuarat terdapat dua usul undi percaya oleh kerajaan dan lebih 20 usul undi tidak percaya daripada pembangkang.
“Saya tidak faham kenapa isu ini timbul sebab semua usul yang ada
dibelakangkan kerana mengutamakan urusan kerajaan terlebih dahulu,”
katanya. UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan