HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Jun 2021

Kibar bendera putih bukti rakyat makin tertekan – Shazni

Wartawan MalaysiaGazette
Shazni Munir Mohd Ithnin
Shazni Munir Mohd Ithnin

KUALA LUMPUR – Kempen kibar bendera putih yang tular sejak kelmarin membuktikan rakyat sudah tidak mampu menanggung kesan Covid-19 ini dengan mengharapkan bantuan daripada kerajaan.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin mendakwa, kelembapan edaran dan agihan bantuan daripada kerajaan menyebabkan masyarakat semakin ditekan daripada pelbagai aspek seperti ekonomi dan juga kesihatan mental.

Kadar kematian daripada kejadian bunuh diri melonjak naik sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah memakan masa hampir dua tahun.

Beliau berkata, keadaan itu bertambah buruk apabila pelan bantuan yang diumumkan kerajaan tidak menyentuh secara keseluruhan lapisan masyarakat.

”Kami menyokong penuh kempen “Kibarkan Bendera Putih” ini dengan harapan bahawa kita dapat membantu individu-individu ataupun keluarga yang terkesan supaya mereka dapat terus bertahan sehingga negara keluar daripada masalah pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kempen kibar bendera putih itu berteraskan atas dasar keprihatinan masyarakat setempat bertujuan untuk memberi sokongan dan bantuan keperluan harian kepada yang terperangkap dirumah tanpa sebarang pendapatan.

Shazni berkata, kempen yang ditularkan ini adalah bukti yang jelas bahawa kerajaan gagal memberikan tumpuan terhadap kebajikan rakyat semasa pelaksanaan PKP.

Sebaliknya, kerajaan terlalu sibuk mencari pelbagai alasan dan peluang untuk terus mengekalkan kuasa tanpa ada sekelumit perasaan simpati terhadap masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: