MALAYSIAKINI
Bekas perdana menteri Najib Razak berkata Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) masih ada beberapa "kekurangan yang perlu ditambah baik," khususnya mengenai tuntutan moratorium pinjaman.
"Apa yang diumum Perdana Menteri Kelapan (Muhyiddin Yassin) tadi bukanlah moratorium automatik dan bukan tanpa faedah.
"Bank tak rugi satu sen pun. Malah akan mengaut lebih keuntungan," katanya pada satu hantaran di Facebook.
Najib mengulas pengumuman pakej Pemulih bernilai RM150 bilion oleh Muhyiddin petang tadi.
Menurut ahli parlimen Pekan, peminjam biasa masih perlu memohon tetapi dijanji akan diberi secara automatik manakala peminjam dari kategori perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) masih perlu semakan dan kelulusan bank unuk memberi moratorium.
"Namun, perjanjian pindaan syarat-syarat baru masih perlu ditanda tangan dan ini mengambarkan bahawa tempoh bayaran peminjam bakal dilanjutkan bertahun-tahun lagi walaupun tempoh moratorium cuma sehingga 6 bulan sebab bank tidak mengecualikan sebarang caj faedah.
"Ini adalah antara aduan yang diterima sejak tahun lepas oleh peminjam yang rasa tertipu dengan bank yang mengambil kesempatan dalam kesempitan," dakwanya.
Najib juga mendakwa moratorium kali ini juga tidak sama dengan tahun lepas di mana faedah serta penalti bagi pinjaman sewa beli (tapi bukan untuk pinjaman lain) telah dikecualikan.
"Bank-bank yang telah diselamatkan oleh bail-out kerajaan pada krisis tahun 1997-1998 dan juga telah mengaut keuntungan ratusan bilion dalam tempoh 10 tahun lepas patut membalas budi kepada peminjam pada masa yang amat susah ini dengan mengecualikan faedah ataupun memberi diskaun faedah sehingga 50 peratus bagi tempoh enam bulan moratorium ini," katanya.
Najib juga menggesa kerajaan untuk mengarahkan bank untuk berhenti "mengugut peminjam dengan panggilan tiap-tiap hari untuk membayar pinjaman" selagi negara bawah PKP.
"Jika peminjam lemas, bank juga akan terjejas pada akhirnya," katanya lagi.
Muhyiddin ketika mengumumkan pakej Pemulih, berkata moratorium selama enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu dan usahawan mikro untuk pinjaman bank, tanpa mengira kelas masyarakat.
Permohonan boleh dibuat bermula 7 Julai nanti.
Bagaimanapun, bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, kemudahan moratorium adalah tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.
Dalam pada iti, tiada lagi syarat pengurangan pendapatan, semakan kehilangan pekerjaan atau dokumentasi perlu dikemukakan, sebaliknya, pemohon hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman berkaitan.
“Sukacita saya umumkan, dengan kerjasama pihak bank, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.
“Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.
“Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik,” kata perdana menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan