HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Jun 2021

Maszlee pastikan enjin pemandu teksi 'sentiasa panas'

MALAYSIAKINI

Malaysiakini-

Pemandu teksi dan kereta sewa antara golongan yang terkesan teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kawasan Parlimen Simpang Renggam, kata ahli parlimennya, Dr Maszlee Malik.

Kata Maszlee, insentif secara ‘one off’ yang diberikan kepada pemandu teksi dan kereta sewa melalui Belanjawan 2021 tidak mencukupi memandangkan pendapatan mereka masih lagi terjejas, terutamanya semenjak PKP 3.0 bermula.

"Ya saya akui, selain diri saya, saya dapati ramai juga wakil rakyat lain termasuk Adun-Adun di dalam kawasan parlimen Simpang Renggam yang turut menyampaikan sumbangan kepada mereka, namun itu tidak memadai. Mereka perlukan penumpang yang boleh membayar perkhidmatan mereka.

"Dari kesedaran itulah lahirnya ide untuk memastikan enjin mereka untuk kekal panas dan kereta mereka terus bergerak.

"Antara inisiatif yang telah dijalankan oleh Pusat Khidmat Rakyat Simpang Renggam ialah khidmat teksi percuma ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mereka yang uzur, OKU dan warga emas yang tidak mempunyai kenderaan ke PPV untuk menerima suntikan," kata Maszlee dalam catatan di Facebook.

Maszlee berkata perkhidmatan secara percuma itu disediakan melalui sumbangan orang ramai.

Katanya dengan cara itu ia bukan sahaja dapat membantu pemandu teksi yang sumber pendapatannya terganggu ketika PKP, malah membantu orang yang uzur, OKU, dan warga emas yang tidak mempunyai anak-anak untuk membawa mereka ke PPV akibat PKP ataupun tidak mempunyai kenderaan.

"Berbekalkan sumbangan dari anda semua, kami bayarkan pemandu-pemandu teksi untuk setiap trip mereka mengambil dan menghantar pulang mereka yang dijadualkan untuk menerima vaksin dengan mematuhi SOP yang ketat," kata Maszlee.

Katanya lagi, dia turut kagum dengan inisiatif beberapa parti politik seperti Umno dan Pakatan Harapan, terutamanya DAP yang diketuai aktivisnya, Marina Ibrahim yang telah menyediakan kenderaan untuk membawa penerima vaksin ke PPV. 

"Terima kasih saya ucapkan kepada mereka. Semoga Allah membalas jasa mereka.

"Bagi pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Simpang Renggam, kami hanya mampu hantarkan para pemandu kereta sewa dan teksi. Merekalah wakil kami dan itulah sahaja yang saya mampu untuk membantu para pemandu tersebut," katanya.

Tiada ulasan: