ABDUL RAZIB ABDUL RAHIM
SELUAS 199 hektar tanah sekitar Kampung Selamat,
Seberang Perai Utara akan diwartakan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang
sebagai pusat industri penternakan terbesar di Pulau Pinang. Bermakna
pusat babi terbesar ini wujud di tengah-tengah perkampungan dan kediaman
orang Melayu atau Islam. Sikap Kerajaan DAP terus menafi dan
mengenepikan perasaan dan sensitiviti majoriti masyarakat Melayu atau
Islam di Seberang Perai Utara.
Belum selesai isu pencemaran
Sungai Kreh berpunca dari pembuangan najis babi terus berlaku tanpa
penyelesaian. Membayangkan betapa kebalnya penjenayah-penjenayah alam
sekitar dan murahnya maruah penduduk sekitar yang menagih simpati.
Begitu berharga tauke-tauke ladang babi ini berbanding masyarakat
sekitarnya.
10 soalan Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kreh ingin disasarkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pemimpin masyarakat:
1. Wajarkah cadangan pewartaan 199 hektar kawasan Kg. Selamat sebagai hub industri babi?
2. Wajarkah lebih dari 10 kampung terus berdepan dengan pencemaran ini dan menafikan hak mereka untuk hidup aman dan selesa?
3. Wajarkah tauke-tauke ladang babi ini hidup mewah di atas penderitaan orang lain? Pesawah dan nelayan Melayu atau Islam terus berdepan dengan krisis dapatan hasil dan pendapatan?
4. Wajarkah ladang-ladang babi ini wujud di tengah-tengah perkampungan dan penempatan awam? Kemudian dicadang dalam Rancangan Seberang Perai 2030 sebagai tempat penternakan babi berpusat yang terbesar di Pulau Pinang?
5. Wajarkah Kerajaan Negeri dan pemimpin masyarakat hanya sekadar menuding jari sesama mereka, yang merana tetap rakyat.
6. Wajarkah Akta Penternakan Babi 2016 dipandang sepi? Moratorium diberi kepada penternak, masyarakat dibiar tanpa ada pembelaan.
7. Wajarkah penduduk Lahar Yooi, Lubuk Meriam, Kg. Sebarang Tok Dol, Lubuk Meriam Dalam, Kg. Air Itam terus dianiaya dan dizalimi setiap kali banjir yang datang dari limpahan air dari Sg. Kreh yang penuh dengan sisa najis babi Kg. Selamat?
8. Wajarkah Kerajaan Negeri hanya memikirkan keuntungan industri babi daripada memikirkan hak rakyat majoriti orang Islam?
9. Wajarkah desakan demi desakan (demo, penerangan, surat bantahan, memorandum, laporan polis) dari penduduk, badan bertindak serta NGO tidak dipandang kerana hanya mereka rakyat yang tidak ada kuasa?
10. Wajarkah pencemaran ini terus berlaku dan penjenayah alam sekitar terus bebas bermaharajalela?
Kesabaran rakyat ada hadnya. Rakyat ada kuasa untuk melempar saja kamu yang berkuasa ketika kamu datang tagih undi 5 tahun sekali. Cukuplah rakyat bersabar!
ABDUL RAZIB ABDUL RAHIMPengerusi
Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sg.Kreh – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan