HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Jun 2021

KJ: Kita bekalkan vaksin berdasar data mesyuarat dengan MB S'gor

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin berkata, jumlah vaksin Covid-19 yang dibekalkan ke Selangor adalah berdasarkan data yang diberikan semasa pertemuannya dengan Menteri Besar Amirudin Shari.

Khairy berkata pada mesyuarat berkenaan, pihaknya dimaklumkan bahawa kemampuan vaksinasi kerajaan negeri itu hanya 40,000 suntikan sehari untuk bulan Jun.

Oleh itu, Khairy berkata dia tidak pasti mengapa Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud mendakwa pihaknya tidak menyediakan bekalan vaksin yang secukupnya untuk negeri itu.

"Memang kita hantar vaksin dan memang ada baki di negeri Selangor dan kita nak hantar lebih banyak lagi vaksin. Jadi, kita tengok kepada kapasiti mereka.

"Saya bermesyuarat dengan menteri besar Selangor dua minggu lepas, di situ kerajaan Selangor sendiri yang kata bahawa kapasiti Selangor untuk bulan Jun adalah 40,000 suntikan sehari.

"Jadi saya tidak pasti (mengapa Siti Mariah) tidak hadir semasa pertemuaan saya dengan menteri besar Selangor," katanya pada sidang media selepas lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang baru di Institut Pengurusan Peladang Tanjung Karang, hari ini.

Semalam, dua penasihat kepada Khairy menjawab kritikan Siti Mariah Mahmud mengenai bekalan vaksin tidak mencukupi di negeri itu.

Penasihat Khas (Sains) Ghows Azzam dan penasihat berkaitan teknologi, Dimishtra Sittampalam berkata kadar penggunaan vaksin di Selangor pada masa ini adalah 75.2 peratus, iaitu antara kadar terendah di negara ini.

Dia membuat perbandingan dengan beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang pada 90.34 peratus, Kuala Lumpur (87.12) peratus dan Terengganu (90.86 peratus).

Bagaimanapun, mengulas lanjut Khairy berkata Selangor dijangka dapat memberikan 130,000 sehari pada bulan Julai dan jumlah vaksin Covid-19 yang dibekalkan ke negeri ini juga akan meningkat bagi memenuhi sasaran.

Tiada ulasan: