HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Jun 2021

Ketika sedang berdepan kemelut dalaman, UMNO sahkan tangguh pemilihan

 
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

UMNO mengumumkan keputusan menangguhkan pemilihan parti hari ini ketika parti tersebut sedang berdepan kemelut dalaman susulan tindakan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merancang jajaran baharu bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Pemilihan tersebut akan ditangguh selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021 melibatkan semua peringkat iaitu cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan berkata keputusan dicapai dalam mesyuarat MT dan selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 yang menyatakan MT berhak menangguhkan pemilihan.

“Pada 30 Jun 2021 ini genap tiga tahun pemilihan UMNO. Maka UMNO sepatutnya dalam keadaan biasa perlu membuat pemilihan semula.

“Namun, Mesyuarat MKT sebelum ini menetapkan agar UMNO merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi mendapatkan panduan kerana negara dan rakyat sedang menghadapi pandemik Covid-19.

“Saya telah menemui sendiri dan menulis surat kepada Ketua Pengarah MKN, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menulis kepada Ketua Pengarah ROS,” katanya.

Jelasnya, UMNO sudah menerima jawapan balas KKM dan MKN mencadangkan supaya mesyuarat dan pemilihan UMNO ditangguhkan sehingga Covid-19 kembali terkawal sekiranya ia tidak boleh dilaksanakan secara dalam talian.

Beliau juga berkata terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan dengan melibatkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO.

“Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di bahagian, wanita, pemuda dan puteri.

“Semua ini mesti dijalankan secara serentak dalam tempoh dua hujung minggu. Tentunya sukar persidangan perwakilan bahagian empat peringkat diadakan secara serentak dalam keadaan wujudnya kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat atau PKP Diperketatkan,” ujarnya.

Ahmad Maslan menambah, UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara dalam talian di semua peringkat dan pihaknya khuatir masalah akan berlaku sekiranya ada kesilapan teknikal yang tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, beliau berkata, mesyuarat peringkat cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO 2021 akan tetap diadakan secara dalam talian tanpa diadakan pemilihan dengan kehadiran hanya satu perempat korum iaitu 25 peratus ahli yang terbabit.

“Ini untuk memenuhi prosedur tahunan pertubuhan. Jika ada pemilihan, tentunya tidak boleh syarat satu perempat kehadiran itu dipakai kerana semua ahli seramai 3.3 juta orang mempunyai hak untuk mengundi,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Mesyuarat Pengurusan yang telah dibentang dalam Mesyuarat MT mencadangkan tarikh Mesyuarat Cawangan empat peringkat tanpa pemilihan perlu diadakan pada 15 Ogos hingga 30 September 2021.

Menurutnya, mesyuarat tersebut boleh diadakan dengan kehadiran hanya satu perempat atau 25 peratus daripada jumlah ahli dengan kaedah maya jika kawasan cawangan itu mempunyai liputan internet.

“Di kawasan luar bandar tanpa internet, bolehlah diadakan secara bersemuka, jika dibenarkan oleh prosedur operasi standard (SOP).

“Jika tidak boleh mengadakan mesyuarat kerana halangan SOP dan halangan liputan internet, kebenaran hendaklah dipohon kepada Ibu Pejabat UMNO yang akan mendapatkan persetujuan daripada ROS,” katanya.

Tiada ulasan: