HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Jun 2021

Kem Farhash dipecat kecam Akmal ketua AMK paling teruk dalam sejarah


Sayap pemuda PKR, AMK kini dikatakan berpecah kepada dua kumpulan antara pengikut Rafizi Ramli, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Ketua AMK) dan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Kem Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dipecat oleh kem Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, menuduh Akmal Nasrullah Mohd Nasir adalah Ketua AMK Malaysia paling lemah dalam sejarah.

Serentak itu enam daripada pemimpin AMK yang dipecat mendesak sayap Pemuda PKR itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi melantik Ketua AMK Malaysia yang baharu.

28 Jun lalu Agenda Daily melaporkan ‘perang’ dua kem dalam PKR membabitkan Rafizi dan Farhash, memuncak apabila Najwan Halimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Selangor, dipecat daripada jawatan Ketua AMK Selangor.

Akmal Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut membubarkan seluruh jawatankuasa AMK Selangor dan Perlis serta memecat beberapa Exco AMK Pusat yang dilihat menyebelahi Farhash dan Anwar.

Akmal Nasir dilihat sebagai anak didik Rafizi, sementara Najwan dan kemnya adalah penyokong kuat Farhash.

Terdahulu Agenda Daily melaporkan Rafizi mendedahkan kartel baharu dalam PKR yang membabitkan orang kanan Anwar.

Peringatan secara terbuka Rafizi kepada Anwar berhubung tindak-tanduk Farhash dalam media sosial mencuri perhatian ramai.

Sementara itu memetik laporan MalaysiaKini hari ini, enam daripada mereka yang dipecat, termasuk Najwan menggesa mesyuarat agung luar biasa diadakan bagi melantik ketua AMK yang baharu.

“Sudah terang lagi bersuluh bahawa Akmal Nasir merupakan Ketua AMK Malaysia paling lemah dan tidak efektif dalam sejarah kepimpinan AMK.

“AMK Malaysia perlu mengadakan Mesyuarat Agung Khas (EGM) bagi melantik Ketua AMK Malaysia baru yang mempunyai keabsahan,” kata mereka dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Najwan; bekas ketua AMK Perlis, Azam Karap; bekas naib ketua Syed Badli Shah; bekas penolong setiausaha AMK; Naqib Nasruddin; bekas timbalan pengarah strategi AMK, Fakhrulrazi Zailan; dan bekas ketua biro mahasiswanya, Shahrul Nizam.

Mereka juga mendakwa 110 daripada 137 ketua cabang AMK hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Akmal Nasir.

Tiada ulasan: