HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Jun 2021

Ahli Parlimen Segamat nafi dakwaan keluar Bersatu

Ahli Parlimen Segamat, Edmund Santhara berkata, beliau sibuk berkhidmat 
di kawasan Parlimennya dan menyifatkan khabar angin itu sebagai ‘berita palsu’.

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara menepis khabar angin beliau meninggalkan Bersatu, dengan berkata beliau sibuk berkhidmat di kawasan Parlimennya dan “tiada masa melayan politik murahan”.

Terdahulu, tersebar spekulasi menerusi satu mesej tular di WhatsApp mendakwa Ahli Parlimen Segamat itu meninggalkan parti komponen Perikatan Nasional, tetapi akan terus menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Tidak”, katanya kepada FMT ketika ditanya sama ada beliau sudah meninggalkan Bersatu.

“Ada orang mahu saya tinggalkan Bersatu. Orang yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu.”

Katanya, khabar angin sedemikian pernah disebarkan awal tahun ini mendakwa beliau akan digantikan sebagai timbalan menteri, tetapi akhirnya ia tidak berlaku.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau menghubungi Santhara selepas mendengar khabar angin itu hanya untuk memeriksa.

“Beliau kata tidak tahu dari mana cerita itu datang dan beliau tidak keluar parti.”

Santhara terpalit kontroversi Mac lalu kerana mengambil cuti 55 hari untuk ke New Zealand bersama keluarganya dan isterinya yang sakit akhir tahun lalu.

Beliau menafikan dakwaan tidak menjalankan tugasnya dengan berkata, Muhyiddin dan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa meluluskan permohonan cutinya.

Tiada ulasan: