HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Jun 2021

PN jaga kepentingan rakyat beri peruntukan kepada pembangkang


Pemuda PN menyokong penuh Pakej PEMULIH diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan memperuntukkan RM300,000 kepada bukan sahaja Ahli Parlimen kerajaan, tetapi juga pembangkang membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) prihatin kepada rakyat.

Ketua Pemuda PN, Senator Ir Khairil Nizam Khairudin keputusan itu juga menunjukkan PN bersifat inklusif dan bertanggungjawab tanpa mengira ideologi politik.

“Pemuda PN ingin memuji sikap profesional kerajaan apabila dengan rasa penuh tanggungjawab memberikan peruntukan sejumlah RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen baik daripada blok kerajaan mahupun blok pembangkang,” katanya dalam kenyataan bersama ketua-ketua pemuda parti gabungan PN hari ini.

Beliau berkata beberapa pengumuman dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sememangnya ditungu-tunggu oleh rakyat dalam berdepan penularan pandemik Covid-19 sekarang.

“Moratorium kepada semua golongan masyarakat dan peniaga, kawalan harga minyak masak, diskaun tarif elektrik kediaman dan pengeluaran KWSP.

“Pemberian ini sememangnya sesuatu yang dinantikan dan semestinya melegakan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Sehubungan itu Khairil Nizam berkata Pemuda PN merakamkan penghargaan dan tahniah kepada barisan Kabinet dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas perancangan teliti serta terperinci pelaksanaan PEMULIH.

Sekalipun dalam keterbatasan, ternyata perincian PEMULIH ini jelas membuktikan kerajaan begitu prihatin dengan keluh kesah dan kesusahan rakyat di mana segala keputusan diambil berlandaskan keperluan semasa, bertepatan dengan denyut nadi rakyat, katanya.

PEMULIH meliputi nilai keseluruhan berjumlah RM150 bilion yang merangkumi suntikan fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi, diumumkan Perdana Menteri Semalam.

Bantuan terbaharu ini adalah yang kedua terbesar selepas pakej Prihatin diumumkan Perdana Menteri pada Mac tahun lalu membabitkan RM250 bilion.

Tiada ulasan: