HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Jun 2021

'Kita akan jumpa tidak lama lagi' - Rashid Hasnon

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon memberi bayangan sidang Parlimen akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau yang sebelum itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagaimanapun tidak menyatakan sama ada sesi sidang berlangsung secara bersemuka atau menggunakan kaedah hibrid.

"Terima kasih atas keprihatinan dan kita hargai kuasa Yang di-Pertuan Agong semasa darurat.

"Insya-Allah, apa yang dicadang dan dititahkan oleh Al-Sultan Abdullah, juga melalui nasihat Perdana Menteri untuk membuka Parlimen, kita akan jumpa tidak lama lagi melalui kaedah biasa atau hibrid," katanya kepada pemberita selepas sesi menghadap.

Turut menghadap Seri Paduka selama sejam bermula jam 12 tengah hari ini ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Turut serta ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Tiada ulasan: