HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Jun 2021

Bicara kes 1MDB Najib bersambung Isnin depan

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion, akan bersambung pada 5 Julai di Mahkamah Tinggi, di sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, berkata kes itu sepatutnya ditetapkan untuk sambung bicara semalam dan hari ini, di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, namun ditangguh berikutan Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Kami menerima e-mel daripada mahkamah petang semalam memaklumkan perbicaraan kes 1MDB dilapangkan untuk minggu ini. Mengikut jadual ditetapkan sebelum ini, tarikh perbicaraan seterusnya bermula 5 hingga 8 Julai," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

Perbicaraan kes 1MDB kali terakhir didengar pada 27 Mei lalu.

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib, dijangka meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, apabila perbicaraan bersambung nanti.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – BERNAMA

Tiada ulasan: