HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Jun 2021

Agong titah Azhar, Rais menghadap Selasa

AGENDA DAILY

Istana Negara di Kuala Lumpur.

Yang di-Pertuan Agong menitahkan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim menghadap baginda di Istana Negara, Selasa ini.

Memetik laporan FMT Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadli Shamsuddin dalam satu pesanan ringkas mengesah perkara itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Semalam Azhar dan Rais dalam kenyataan bersama berkata sidang Dewan Rakyat secara hibrid dijangka diadakan akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September selepas semua aspek perundangan, termasuk peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan diambil kira.

Mereka berkata, tarikh sidang bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan semua aspek perundangan pada peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat dijangka akhir Julai depan.

Sehubungan itu mereka mencadangkan satu Sidang Khas Parlimen diadakan pada awal Ogos bagi memperincikan pelbagai urusan, tetapi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada hari sama Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun juga mengeluarkan kenyataan mengatakan Jemaah Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk diadakan sidang Parlimen dan baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan, kata Peguam Negara, .

Beliau dalam kenyataan bertujuan memperjelaskan kedudukan mengenai kuasa Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan kewajipan baginda bertindak atas nasihat jemaah menteri, hari ini berkata:

“Berdasarkan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Namun, peruntukan untuk memanggil Parlimen bersidang tidak mempunyai kesan bawah perenggan 14(1)(a) Ordinan Darurat selama tempoh darurat berkuat kuasa.

“Perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat pula memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen pada tarikh ‘sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong’.”

Tiada ulasan: