HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Jun 2021

Kata tangguh pemilihan PKR, kenapa pecat? kata Ketua AMK Perlis dipecat


Sayap pemuda PKR, AMK kini dikatakan berpecah kepada dua kumpulan antara pengikut Rafizi Ramli, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Ketua AMK) dan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Tindakan memecat dua ketua AMK Negeri, Selangor dan Perlis adalah mengejutkan memandangkan PKR sudah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti tersebut semasa Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke-15 baru-baru ini.

Tindakan tersebut dibidas bekas Ketua AMK Perlis, Nor Azam Karap yang menjadi salah seorang mangsa pemecatan walhal usul semasa kongres sudah meluluskan untuk mengekalkan tempoh memegang jawatan bagi sesi kepimpinan 2018/2021.

“Saya tak pasti kenapa saya jadi sasaran. Sedangkan parti telah keluarkan arahan tangguhkan jawatankuasa sedia ada sehingga 2023, bermaksud semua jawatan di semua peringkat kekal hingga tamat tempoh itu.

“Saya bukan daripada mana-mana kem dalam parti, walaupun ada pihak melabel kami dari kem tertentu. Kami tak ambil peduli dan hanya mahu fokus pada agenda parti,” katanya dipetik laporan media.

Selain Nor Azam, seorang lagi ketua AMK, Najwan Halimi juga menerima nasib sama apabila dipecat daripada jawatan Ketua AMK Selangor.

Laporan juga menyebut Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru bertindak membubarkan seluruh jawatankuasa AMK Selangor dan Perlis berkuat kuasa serta-merta.

Pada Isnin, AMK dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil langkah progresif dengan melaksanakan penyusunan semula kepimpinan dan merombak jawatankuasa organisasi AMK Perlis dan Selangor.

Nor Azam turut berharap pimpinan parti semua peringkat berhenti ‘berpolitik’ dan tumpukan kepada menyelesaikan permasalahan rakyat yang semakin menghimpit sejak pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Agenda Daily melaporkan Rafizi Ramli mendedahkan kartel baharu dalam PKR yang membabitkan orang kanan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peringatan secara terbuka Rafizi kepada Anwar berhubung tindak-tanduk Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam media sosial mencuri perhatian ramai.

“In Sha Allah saya akan saman budak Farhash ni, @anwaribrahim pls take note (sila ambil maklum). Will instruct my lawyer (akan arahkan peguam saya),” kata Rafizi dalam akaun Twitternya yang dipercayai merujuk kepada Farhash.

Tidak pasti punca perbalahan antara Rafizi dengan Farhash yang mencetuskan amaran untuk saman terhadap orang kanan Anwar tersebut, bagaimanapun Rafizi membayangkan kewujudan satu lagi kumpulan kartel dalam PKR.

“This is what the people in your office cultivate – another rotten culture in PKR to become #kartel2 (Ini sebenarnya orang dalam pejabat anda sedang semaikan, satu lagi budaya busuk dalam PKR yang akan menjadi kartel 2),” katanya lagi.

Selain itu, tular juga mesej yang didakwa ditulis Danish Hairudin yang mendakwa bertugas sebagai setiausaha politik kepada ADUN Selangor, menuduh tindakan memecat Najwan sebagai langkah politik rakus.

Danish mendakwa Najwan dipecat kerana mesra dengan kumpulan baju hitam yang setia mempertahankan Anwar, sedangkan kepimpinan AMK di bawah beliau berjaya menyatukan semua ahli selepas berlakunya Langkah Sheraton.

Dia menuduh tindakan Akmal memecahbelahkan ahli AMK.

“Ini merupakan politik khianat dimana memecat seorang pimpinan berkarisma demi kelangsungan politik,” dakwanya dalam mesej tular itu.

Tiada ulasan: