HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Jun 2021

Kita cuba yakinkan PM adakan Sidang Khas Parlimen sebelum Ogos, kata Rais

Rais Yatim berkata, sesi pertama hendaklah diadakan dalam bentuk sesi fizikal, 
bukannya secara hibrid disebabkan kekangan Peraturan Mesyuarat dan undang-
undang sesi sidang Parlimen.

PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim akan berbincang dan cuba meyakinkan perdana menteri untuk mengadakan sidang khas Parlimen sebelum 1 Ogos, susulan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong semalam yang menyuarakan hasrat supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengutus surat kepada Pejabat Perdana Menteri dan Muhyiddin Yassin mempunyai dua pilihan, sama ada menghantar sahaja surat memaklumkan tarikh persidangan khas atau bermesyuarat untuk menentukannya dengan pihak berkaitan.

Katanya, sidang khas Parlimen disaran diadakan lima hari secara fizikal, sementara persidangan Parlimen akan berlangsung pada hujung Ogos untuk memberi notis 28 hari kepada semua Ahli Parlimen.

“Tarikh sidang khas Parlimen akan ditakwimkan perdana menteri. Mungkin dua hari, mungkin lima hari. Kemudian persidangan biasa akan dibuat pula pada hujung Ogos ini,” katanya dalam wawancara dengan Utusan Malaysia.

Selain Rais, turut diterima menghadap Agong semalam ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dan lima timbalan yang dipertua.

Selepas pertemuan itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengulangi kenyataan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin mengikut garis panduan dan SOP Covid-19 yang ditetapkan kerajaan serta Parlimen.

Agong juga berpandangan semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen hendaklah meneruskan sesi mesyuarat untuk melaksanakan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus telus, berintegriti serta bertanggungjawab.

Rais berkata, sesi pertama hendaklah diadakan dalam bentuk sesi fizikal, bukannya secara hibrid disebabkan kekangan Peraturan Mesyuarat dan undang-undang sesi sidang Parlimen.

“Namun kami menasihatkan Tuanku dari segi peraturan, Ketua Majlis iaitu perdana menteri hendaklah bertindak menjadikan sesi itu sebagai kenyataan.

“Kami akan berbincang dengan perdana menteri untuk melihat tarikh yang terbaik. Tapi ditekankan Agong supaya tidak boleh lewat daripada jangkaan. Kita akan cuba meyakinkan perdana menteri supaya persidangan dapat diadakan sebaiknya sebelum 1 Ogos ini.”

Tiada ulasan: