HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Jun 2021

'Kami sedang perhatikan anda' - kata MP pembangkang pada k'jaan

Dua ahli Parlimen pembangkang hari ini menyambut baik jaminan kerajaan bahawa Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Selangor dan juga lapangan terbang tempatan yang lain tidak akan dijual.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh merujuk kenyataan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan semalam setelah bantahan dibangkitkan terhadap cadangan sebuah syarikat swasta untuk mengambil alih lapangan terbang itu.

"Kami sedang memerhati dan kami akan terus melihatnya, kami akan memastikannya tidak berlaku.

"Kenyataan itu jelas menunjukkan kuasa rakyat.

"Tanpa sokongan orang ramai, kemungkinan besar kita perlu menggadaikan atau menjual lapangan terbang Subang kepada hartawan," kata Syed Saddiq dalam siaran langsung Facebook di luar bangunan parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Bekas menteri belia dan sukan itu memberi amaran berhubung dakwaan "taikun"  cuba mengaut keuntungan daripada wabak Covid-19 melalui perjanjian yang menguntungkan sebelah pihak.

Semalam, Syed Saddiq membangkitkan mengenai surat yang dikatakan dari Khazanah Nasional Bhd kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang menjelaskan kesan buruk jika LTSAAS dijual kepada WCT Holdings Bhd.

Dia mendakwa surat bertarikh 11 Mei itu menyatakan bahawa langkah menswastakan lapangan terbang itu akan "membunuh" rancangan untuk menyusun semula Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) yang mengawasi Malaysian Airlines Bhd (MAB).

Pemilik lapangan terbang sekarang ialah Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) yang mempunyai konsesi untuk mengendalikan lapangan terbang itu sehingga 2069. MAHB sebelum ini mendesak kerajaan untuk mengkaji semula rancangan penjualan lapangan terbang berkenaan.

Khazanah Nasional, KWSP, dan Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) secara kolektif memiliki 53 peratus pegangan MAHB pada akhir tahun 2020. Khazanah juga merupakan pemilik tunggal MAB.

Menurut The Vibes, Subang Skypark Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya oleh WCT Holdings mencadangkan konsesi baru yang akan berakhir pada tahun 2092. Taikun hartanah Desmond Lim mengendalikan WCT Holdings.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, situasi darurat  membolehkan kerajaan mengenepikan prosedur perolehan tertentu, namun ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) akan terus meneliti perbelanjaannya.

"Kami tidak akan membenarkan kamu menjana keuntungan dari wabak ini.

"Kami akan terus memantau dan kami janji sebagai Ahli Parlimen untuk mengkaji semula kontrak yang dibuat yang tidak bagus untuk rakyat ... bila parlimen dibuka, kami akan semak penggunaan kuasa darurat untuk menandatangani bermacam hal," katanya.

Bekas Adun Subang Jaya itu berkata, lapangan terbang Subang adalah aset negara yang mesti dilindungi.

Yeoh juga membidas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, berhubung permintaannya supaya Syed Saddiq meminta maaf kepada Muhyiddin atas dakwaannya.

Yeoh berkata Syed Saddiq mengemukakan pertanyaan yang sah yang sepatutnya dikemuakan di Parlimen, namun hingga kini masih ditutup.

"Kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), kedua-dua kenyataan ini adalah jaminan yang baik, tetapi kami harap anda tidak akan gunakan perkataan 'setakat ini'.

"Kami perlukan jaminan bahawa anda sebagai kerajaan hari ini akan memelihara aset negara seperti lapangan terbang Subang," katanya.

Kementerian Kewangan semalam mengesahkan bahawa LTSAAS dan juga lapangan terbang tempatan yang lain tidak akan dijual.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan memaklumkan kabinet tidak memutuskan sebarang penjualan aset-aset LTSAAS.

Tiada ulasan: