PEKUNG semakin terbuka, rakyat yang selama ini
dibuai persepsi kembali menilai dan terus menilai akan kejujuran
beberapa figura politik pembangkang dan kelompok tertentu.
Sejak
beberapa bulan lalu, kecaman demi kecaman, fitnah demi fitnah dihadapkan
kepada Perikatan Nasional malah fokus utama kepada PAS dan kredibiliti
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
PAS difitnah
kononnya mempertahankan kerajaan PN kerana gila kuasa dan kedudukan
sedangkan hakikatnya PAS hanya menerajui tiga sahaja kementerian untuk
dan selain itu lima posisi Timbalan Menteri.
PAS tidak pernah
bising mengenainya. Suatu masa selepas Pilihan Raya Umum ke-14, PAS
berusaha menyatukan ummah demi melihat kembali perpaduan dan menolak
pemerintahan yang dikuasai kelompok ultra kiasu yang banyak memperendah
kedudukan Islam dan juga Melayu.
Hingga ke saat ini, PAS melalui Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang konsisten dan komited mahu perpaduan ummah diperteguhkan malah diperkuatkan dengan PAS komited memperkasa Muafakat Nasional dan mempertahan Perikatan Nasional.
Berulang kali Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan perihal komited dengan perpaduan ummah, tapi masih ada di luar sana yang mahu membunuh agenda ini.
Ini kenyataan yang langsung tidak berubah sejak tertubuh kerajaan PN, malah PAS menjadi penghubung yang tegar memperisaikan diri demi kekuatan kesepaduan ini.
Pun begitu, masih ada yang lidah bercabang tidak ingat ketika mempersetujui kebersamaan dalam MN dan PN untuk satu suara no DAP, no Anwar.
Malah ada pula yang mahu menyalahkan PAS pula demi mensucikan hubungan mereka yang telah lama dirintis bersama Anwar walaupun baharu dicanangkan.
Ketika ini banyak sudah pendedahan dan luah rasa pihak agar perpaduan ummah yang dibawa dahulu difokuskan terus tanpa ada usaha lain berbisik di belakang dengan menyetujui DAP dan Anwar.
Semoga ianya bakal memberi ingatan bahawa ketika sama-sama bersetuju membentuk kerajaan fokus utama adalah no DAP dan no Anwar.
Fitnah dan gila kuasa
Politik fitnah dan menyatakan kerajaan gagal mula didendang. Isu dipanaskan dengan sentimen rakyat mengenai ekonomi negara, tekanan hidup rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana, malah sedikit pun tidak langsung menyebut mengenai usaha kerajaan mengatasi penularan Covid-19 dan mengatasi kemelut ekonomi selain bantuan yang disediakan dalam pelbagai pakej yang diumumkan.
Yang didendangkan adalah santapan kononnya semua gagal. Menari dalam lagu yang dimainkan DAP serta konconya.
Nafsu membuak Ketua Pembangkang mahu menjadi PM diikuti budaya kempen fitnah yang makin menjadi-jadi.
Rakyat sengaja diheret sentimennya ke arah membenci kerajaan dengan isu PKP diheret kepada pelbagai sudut sedangkan dalam masa yang sama usaha memendekkan tempoh PKP dan melihat kesan kepada rakyat ini sedang berjalan dengan pelan pemulihan negara yang telah dibentangkan PM pada pertengahan Jun.
Kempen mempergiat suntikan vaksin bagi mencapai imuniti kelompok pula semakin menampakkan hasil, tetapi dalam keadaan itu sentimen rakyat dibuai dengan tohmahan palsu dan manipulasi laporan oleh media pro pembangkang yang jelas bau suara mereka bernada mahu menjatuhkan kerajaan yang ada ini secepat mungkin.
Penulis mahu menamatkan tulisan ini dengan mengambil sedikit pandangan otai Umno, Tan Sri Annuar Musa mengenai persoalan siapa gagal sebenarnya.
“Kalau tengok pada angka dan fakta, kita adalah kerajaan yang cukup berjaya tetapi jangan ambil kesempatan daripada kesempitan. Kerajaan sedang sempit dihimpit oleh pandemik,” kata Annuar Musa.
Menurut beliau, Islamic Finance Forum (IFF) turut mengiktiraf negara ini sedang menuju kearah pertubuhan ekonomi 6.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar.
“Jadi lebih baik kita tumpukan masa untuk saling sokong menyokong, yang renggang kita dekatkan, yang jauh rapatkan, yang retak kita boleh gabungkan daripada saling melemahkan satu sama lain.
“Dek kerana hanya agenda kecil yang bersifat peribadi kita meninggalkan amanat dan agenda yang lebih besar sebab itu pada saya gandingan yang ada pada kerajaan sekarang ini yang mana Umno, PAS segalanya ada di situ perlu dipertahankan.
“Kalau ada lemah kita baiki kerana kita tidak mampu gagal,” katanya ketika Bicara Harakah pada Rabu lepas.
Nah, momokan kegagalan ini harus dihentikan segera kerana pihak di sebelah sana acap sangat menggunakan doktrin ini walaupun dalam masa yang sama bukti 22 bulan mereka gagal itu amat besar sekali untuk dibincangkan dan dihidangkan kepada rakyat agar rakyat tidak hanya terpesona dengan janji palsu PH yang terbukti palsu belaka, dalam masa yang sama menolak fitnah yang sengaja ditayangkan ke mata rakyat.
Ingat, PH hanya mahu kembali berkuasa bukan mereka mahu membela rakyat. Yang gagal adalah mereka, yang menggagalkan PH juga adalah dalaman PH, maka jika ada yang mahu menerima PH lagi maka ini semua adalah agenda peribadi dan menyokong agenda Gila Kuasa seorang yang kecewa tidak dapat menjadi PM semasa PH berkuasa. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan