Selepas dikecam hebat dengan dilabel ‘balaci’ oleh rakan senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih tidak menjawab berhubung kritikan yang mendakwanya dalang dalam usaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menggunakan platform media sosialnya, Facebook untuk mengulas berhubung isu melibatkan jualan kenderaan dan nasib jurujual kereta yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Pertama yang sedang berjalan.
“Apa khabar sahabat alam maya saya terutama ‘salesman’ (jurujual) kereta?
“Betulkah laporan berita ini? Jualan kereta di seluruh Malaysia hampir sifar disebabkan PKP 3.0. Jika betul bagaimana agaknya keadaan abang-abang, adik-adik, kakak-kakak ‘salesman’ kereta kita?” katanya dalam kenyataan terkini di ruang status komennya.
Jelas Zahid, beliau bersimpati dengan nasib jurujual kereta memandangkan gaji asas mereka tidak lah tinggi dan bergantung kepada komisen jualan kereta yang mereka jual.
“Kita tahu ‘salesman’ kereta walau ada ‘gaji basic’, tetapi rata-ratanya di paras gaji minimum.
“Pendapatan mereka sebahagian besar pada komisyen setiap kereta dijual,” ujarnya lagi.
Menurut Zahid lagi, kritikan dan pandangan berhubung isu rakyat akan tetap disuarakannya walaupun terdapat pihak yang tidak senang dengan tindakan dan kritikannya terhadap kerajaan.
“Saya pula akan terus menulis apa yang patut saya tulis walau ada yang kurang senang,” katanya.
Nazri sebelum ini mendedahkan sudah mengumpul surat akuan (SD) untuk menyokong Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai jurucakap rasmi kepada 25 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), ia sekiranya Ahli Parlimen Sembrong itu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Nazri berkata langkah itu sebagai tindakan balas terhadap Zahid yang memberikan maklumat mengelirukan kepada YDPA berhubung sokongan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Nazri juga mendakwa ditipu Zahid semasa menarik sokongan terhadap kerajaan pada Oktober tahun lalu apabila ketua perancang tersebut mendapat peruntukan untuk kawasan Parlimennya dan beliau pula tidak diberikan peruntukan kerana tindakan menarik sokongan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan