Staff Writers MALAYSIA NOW
Tiada alasan kukuh diberikan untuk memecat Najwan yang juga Adun Kota Anggerik itu.
Pemimpin-pemimpin Pemuda PKR Selangor hari ini membantah keputusan pemecatan ketua mereka Najwan Halimi, yang dikatakan sebagai keputusan terburu-buru, menambahkan pergolakan parti pimpinan Anwar Ibrahim itu.
Mereka juga berkata tiada alasan kukuh diberikan untuk memecat Najwan yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik itu.
“Kami membantah sekeras-kerasnya keputusan tersebut yang dilakukan secara tergesa-gesa, semberono dan tanpa sebarang konsensus,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.
MalaysiaNow melaporkan hari ini PKR kini bakal berdepan krisis dalaman terbaru selepas kembali menjadi pembangkang, kali ini dalam bentuk perubatan kuasa dan pengaruh antara dua orang pengikut setia Anwar.
Perkara ini berlaku selepas ketegangan antara setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli meletus sejak beberapa minggu lalu.
Dalam kenyataan yang ditandatangani 17 ketua-ketua Pemuda PKR Selangor, Najwan mempamerkan kepimipinan cemerlang selama dua tahun dan berjaya menyatupadukan sayap itu di Selangor sejak peristiwa Langkah Sheraton tahun lalu yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.
“Beliau juga memastikan pandangan, cadangan serta suara anggota akar umbi di negeri Selangor diperjuangkan di peringkat yang lebih tinggi serta ditangani dengan baik,” katanya.
“Kami juga turut menyatakan sokongan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Anwar selaku presiden PKR dan akan terus mempertahankan beliau dari digugat oleh pihak-pihak yang cuba melemah serta memecahbelahkan parti.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan