HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Jun 2021

Hibrid atau fizikal, kerajaan belum tentukan – Takiyuddin

Bangunan Parlimen Malaysia GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN masih belum menentukan kaedah pelaksanaan persidangan Parlimen sama ada secara fizikal atau pun hibrid.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika mengulas sama ada sidang Dewan Rakyat akan dilakukan secara tradisional atau pun hibrid.

Menurut Takiyuddin, kaedah secara hibrid adalah pilihan yang ada jika Parlimen tidak boleh dilakukan secara fizikal.

“Bagaimanapun, Yang Dipertua baru mencadangkan kaedah hibrid kepada kerajaan. (Namun) kita belum memutuskan Parlimen bersidang guna kaedah mana.

“Parlimen dijangka bersidang pada akhir Ogos atau awal September sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Yang Dipertua kelmarin,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Kota Bharu hari ini.

Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam kenyataan bersama berkata, persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September.

Katanya, Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen secara Hibrid telah pun mengkaji dan meneliti aspek teknologi serta metodologi perjalanan persidangan hibrid telah mencadangkan kaedah itu.

Azhar Azizan dan Rais berkata, secara umumnya persidangan hibrid melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 Ahli Dewan Rakyat untuk menepati kehendak korum di Dewan Rakyat dan 10 Ahli Senator di Dewan Negara.

Mereka berkata, selebihnya mempunyai pilihan sama ada untuk hadir secara fizikal tertakluk kepada apa-apa syarat mesyuarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau pun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada masa persidangan atau maya.

Rais turut mengesahkan beliau bersama Azhar Azizan telah diminta menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, Selasa ini melibatkan hal ehwal persidangan Parlimen.

Tiada ulasan: