( Gambar hiasan ).
Pembentukan jajaran baharu politik yang menggabungkan UMNO, DAP dan PKR bukan samar-samar lagi, malah semakin menjadi kenyataan
Kalau sebelum ini para pemimpin tiga parti politik tersebut cukup berlapik dan begitu berhati-hati apabila bercakap mengenai kerjasama ini, sekarang tidak lagi. Semuanya sudah tidak berselindung lagi.
Semalam Ahli Parlimen PKR Kapar, Datuk Abdullah Sani yang diketahui ramai sebagai `ayam sabung’ Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berterus terang menyatakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah `kunci’ kepada pembentukan jajaran baharu antara UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh terdekat.
Abdullah Sani menegaskan, Ahmad Zahid boleh memainkan peranan untuk melunaskan segera kerangka yang dirancang untuk membantu menyelamatkan negara.
Beliau meminta Presiden UMNO itu menggunakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk meminta ahli-ahli Parlimen UMNO keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika desakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar sidang Parlimen diadakan dalam tempoh 14 hari tidak dipenuhi.
Ura-ura pembentukan jajaran baharu politik yang akan diketuai oleh Anwar bermula apabila Zahid dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengutus surat secara diam-diam kepada Istana Negara tanpa pengetahuan MT UMNO bagi menyatakan sokongan kepada Anwar untuk dipilih sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Najib juga pernah memberi kenyataan bahawa tidak mustahil UMNO boleh bekerjasama dengan pihak atau parti yang pernah dilabel sebagai musuh politik seperti DAP dan PKR.
Zahid pula turut memberi bayangan bahawa corak politik negara bakal berubah apabila UMNO membentuk jajaran politik baharu dinamakan Perikatan 3.0 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.
Presiden UMNO itu memberi bayangan usaha ke arah pembentukan itu sedang berjalan selepas mempertimbangkan bahawa dinamik politik sentiasa tidak menentu.
Walaupun tidak menyatakan parti politik mana bakal menyertai jajaran politik baharu, beliau menggambarkan kerjasama itu tidak melibatkan PN pimpinan Muhyiddin.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa pernah membuat pendedahan menggemparkan pada Januari lalu dengan mendakwa wujud percubaan dan rundingan politik dengan PH dalam apa yang disifatkan sebagai pembentukan jajaran baharu politik.
Walaupun kenyataan Zahid dan Najib menimbulkan kemarahan majoriti ahli UMNO yang bertegas dengan prinsip `No Anwar, No DAP’, para pemimpin pembangkang menyambut baik ‘keterbukaan’ dua pemimpin UMNO itu. Mereka seolah-olah sudah tidak sabar membentuk satu pakatan politik dengan UMNO, tidak kiralah sebelum atau selepas pilihan raya umum.
Tidak sukar menelah kenapa segelintir pemimpin UMNO serta para pemimpin PH begitu teruja dengan cadangan jajaran baharu politik ini. Inilah peluang terbaik kepada PH untuk kembali berkuasa di peringkat persekutuan selepas hanya sempat merasa 22 bulan sebagai kerajaan sebelum ini.
Inilah juga satu-satunya peluang bagi membolehkan Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri. Inilah juga satu-satu peluang yang masih ada kepada segelintir pemimpin UMNO daripada `kluster mahkamah’ untuk dibebaskan daripada dakwaan sebagaimana dijanjikan jika kembali berkuasa.
Mereka melihat peluang tersebut semakin cerah berikutan perkembangan terbaharu politik negara lebih-lebih lagi setelah Yang di-Pertuan Agong membuat titah cadangan agar Parlimen dibuka untuk bersidang semula.
Walaupun gagal memperoleh sokongan dalam Parlimen pada sidang yang lepas, Anwar masih lagi menaruh harapan Parlimen kali ini dapat `mengubah nasibnya.’ Beliau yakin segelintir ahli- Parlimen UMNO akan menyokong beliau walaupun ahli-ahli Parlimen parti Pejuang dan Warisan secara terbuka sudah menolak beliau.
Anwar, Zahid dan Najib sangat-sangat memahami sifir politik negara. Mereka tahu nasib tidak akan menyebelahinya lagi jika pilihan raya umum diadakan dalam waktu terdekat. Mereka juga juga sudah dapat mencium bau `kekalahan.’
Tidak hairanlah masing-masing begitu terdesak mahu Parlimen dibuka
segera kerana inilah satu-satu pentas percubaan terakhir menjatuhkan
kerajaan sedia ada seterusnya merealisiasi semua `cita-cita’ yang sudah
lama dirancang!. AGENDA DAILY
(*) Saladin Hassan Salleh- Pemerhati politik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan