Oleh NOR HAZWANI NOH
KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengingatkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) agar lebih prihatin dalam memberi pendidikan dan mempromosi hak asasi.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata suatu tindakan yang diambil mestilah berteraskan kepada hak asasi kerangka Perlembagaan Persekutuan dan bukan acuan hak asasi barat yang akan menimbulkan pertembungan penafsiran hak asasi itu sendiri dari segi agama, budaya dan moral.
“SUHAKAM adalah agensi kerajaan yang ditubuhkan oleh Parlimen pada tahun 1999, dan sebarang tindakan yang dilakukan oleh SUHAKAM mestilah selaras dan selari dengan kehendak Parlimen, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
“Sebarang perkara yang bertentangan dengan hak dan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara adalah melampaui kuasanya dan ultra virus.
“Dibimbangi SUHAKAM menjadi sarang dan tunggangan pihak tertentu yang menjadikan agenda liberal barat yang ditanamkan oleh NGO-NGO luar negara kepada NGO-NGO yang berada dalam negara ini atas nama penyelidikan dan ilmu.
“Ini terbukti bila terdapat 42 NGO dan 82 NGI yang menyokong kajian ini di buat atas nama budaya ilmu, intelektual dan penyelidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Solidariti UMMAH Bantah SUHAKAM Isu Kajian Mengiktiraf Third Gander bersiaran langsung menerusi Facebook ummah.official, semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Marzuk Shaary; Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Ts Hj Khairil Nizam; Geng Ustaz, Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani; Pengerusi MACSA, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.
Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dato’ Mahamad Naser Disa; Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor; Pengerusi MACSA, Prof Madya Dr Rafidah Hanim; Irsyad Care, Ustaz Dr. Md Noor Hussin; Global UNITY Network, Bro. Shah Kirit; ‘ADALAH, Muna ‘Adila Che Rime; SIGMA, Dayang Puteri Nazirah Izhar; Cakna Rakyat Malaysia, Ustaz Roslan Md Esa dan GAMIS, Arif Hakimi.
Mengambil satu kajian institut pengajian tinggi (IPT) pada tahun 2018, katanya, terdapat lebih 130,000 trasgender dan 70 peratus adalah malayu muslim.
“Jumlah ini hampir kepada 0.4 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia.
“Maka adalah sangat wajar mereka ini diberi hak yang sebaiknya dari segi bimbingan yang betul daripada sudut agama, kesihatan, ekonomi, budaya dan sosial.
“Mereka juga adalah komuniti dalam negara kita. Kelangsungan kehidupan masa depan dan jangka panjang mereka mestilah terpimpin dan diberdaya,” katanya.
Tambah beliau, kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2017 juga mendapati 1,697 daripada 3,347 kes adalah pengidap HIV daripada LGBT, iaitu sebanyak 50 peratus.
Oleh itu, tegas Mohd Zai, jangan dibiarkan mereka ini direkrut oleh pengaruh barat, dan diambil kesempatan oleh NGO luar dan dalam negara yang berfahaman liberal yang akan melencongkan mereka jauh daripada fahaman agama dan moral.
“Maka menjadi kewajipan kepada kita semua menyelamatkan mereka daripada terjerumus kelembah yang akan merugikan mereka atas nama hak asasi third gender yang diperjuangkan oleh SUHAKAM yang berkiblatkan neraca barat semata-mata,” katanya. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan