HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Jun 2021

Kenyataan Peguam Negara lerai kekeliruan – Bersatu

Bersatu
Biro Perundangan Dan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong penuh kenyataan Peguam Negara baru-baru ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Biro Perundangan Dan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong penuh kenyataan Peguam Negara baru-baru ini.

Bagi pihaknya, kenyataan rasmi Peguam Negara telah menjawab dan meleraikan kekeliruan, dakwaan dan takrifan yang dibuat pelbagai pihak berkenaan dengan kuasa-kuasa untuk menasihati Yang Dipertuan Agong (YDPA) di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Darurat.

“Kenyataan rasmi Jabatan Peguam Negara tersebut telah menepis pelbagai bentuk tohmahan dan dakwaan yang mendakwa wujud krisis perlembagaan sebagai satu dakwaan yang tidak berasas dan tidak berlandaskan kedudukan undang-undang sebenar sepertimana kerangka Perlembagaan Persekutuan termasuklah kes-kes duluan yang telah diputuskan yang turut di rujuk di dalam kenyataan beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ia sekaligus membidas kenyataan Isham Jalil di dalam penulisannya yang mendakwa YDPA tidak memerlukan nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sebagai Ketua Badan Eksekutif berkenaan dengan isu pembukaan Parlimen.

“Sebagai menempelak kenyataan saudara Isham tersebut, Jawatankuasa Perlembagaan dan Perundangan Bersatu adalah senada dengan kenyataan Peguam Negara berkenaan Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Darurat hendaklah dibaca selara holistik.

“Otoriti yang dirujuk di dalam kenyataan Isham terhadap kes PP lawan Mohd Amin Mohd Razali misalnya, sebagai hujah bahawa YDPA boleh bertindak tanpa nasihat Perdana Menteri dan Kabinetnya adalah mengelirukan, tidak tepat dan boleh dibezakan,” kata kenyataan yang sama.

Di dalam kes Mohd Amin, katanya, mahkamah telah membuat rujukan kepada Fasal 39 (Kuasa Eksekutif Persekutuan) dan 40(1) (Kuasa YDPA bertindak atas nasihat) yang mendapati Yang Dipertuan Agong adalah sebagai Ketua Negara dan bertindak di atas nasihat Perdana Menteri dan Jemaah menterinya dan mahkamah sedikit pun tidak menyentuh aspek berkenaan dengan kehilangan kuasa eksekutif untuk menasihatkan YDPA.

S11 Ordinan Darurat jelas memperuntukkan bahawa kedudukan Menteri dan Jemaah Menteri adalah terjamin selagi mana Ordinan Darurat ini berkuatkuasa.Justeru, kenyataan liar kononnya YDPA tidak lagi perlu bergantung kepada nasihat seorang Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya adalah amat bertentangan dengan kedudukan undang-undang yang telah diputuskan di dalam pelbagai kes duluan yang dirujuk di dalam kenyataan Peguam Negara.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: