HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Jun 2021

Pecat, bubar dalam AMK tanda pergolakan dalaman?

Malaysiakini

Selepas lebih setahun pergolakan dalaman PKR sehingga menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, parti itu kini sekali lagi dilihat bergolak.

Kali ini, sekurang-kurangnya dua kepimpinan Pemuda PKR (AMK) negeri dibubarkan dan beberapa pemimpin sayap parti itu di peringkat pusat dipecat, menurut surat yang dilihat oleh Malaysiakini hari ini.

Alasan yang diberikan adalah sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Bagaimanapun, Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa langkah tersebut diambil ekoran fahaman berpuak-puak antara mereka yang berpihak kepada Pesiden PKR, Anwar Ibrahim dan bekas naib presiden PKR, Rafizi Ramli.

Syed Badli Shah adalah antara mereka yang dipecat hari ini.

"Setelah (bekas timbalan presiden PKR) Azmin Ali keluar dari parti, yang tinggal adalah barisan kepimpinan Rafizi dan Anwar.

"Mungkin mereka merasakan mereka yang dipecat adalah pembela kuat pasukan presiden dan melihat mereka sebagai ancaman kepada pasukan Rafizi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Rafizi tidak lagi aktif dalam PKR tetapi anak didiknya Akmal Nasir adalah ketua AMK yang boleh memutuskan kepimpinan AMK negeri.

Rafizi sebelum ini memberi peringatan kepada Anwar Ibrahim supaya bertindak segera terhadap pihak tertentu di sekelilingnya yang digelar sebagai 'gang baju hitam'.

Antaranya adalah setiausaha politik Anwar yang juga Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak. Farhash juga dilantik sebagai pengerusi PKR Perak.

"Saya secara terang-terangan menasihati Anwar agar tidak membiarkan benih kartel tumbuh lagi melalui geng baju hitam," ciap Rafizi di Twitternya pada 17 Jun.

Topik itu muncul setelah pihak-pihak yang kononnya berpihak kepada Farhash membuat hantaran yang tidak berpihak kepada Rafizi.

Catatan itu dipadamkan setelah Rafizi mengancam tindakan undang-undang.

"Kamu harus menguasai pejabat kamu. Inilah yang dibaja oleh orang-orang di pejabat kamu - budaya busuk lain dalam PKR untuk menjadi # kartel2

"Dan mereka gunakan nama kamu untuk membenarkan semuanya. Suatu hari ketika mereka tidak dapat apa yang mereka mahukan, mereka akan mengkhianati kamu, sekali lagi," kata Rafizi dalam tweet lain pada 18 Jun.

"Kartel" adalah gelaran yang digunakan untuk merujuk kepada kem Azmin semasa dia berada dalam PKR.

Syed Badli Shah berkata, sekurang-kurangnya enam individu, termasuk dirinya, disingkirkan daripada jawatan dalam AMK.

AMK Selangor dan Perlis juga dibubarkan, dengan AMK Selangor, Najwan Halimi dan Ketua AMK Perlis, Azam Karap menerima surat berasingan pagi ini mengenai pembubaran itu.

Surat-surat itu yang ditandatangani oleh Setiausaha AMK Ahmad Syukri Che Ab Razab, memberikan alasan yang sama iaitu untuk persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15.

"Justeru, ada keperluan untuk AMK PKR Malaysia melakukan rombakan strategik bagi memastikan gerak kerja yang lebih berfokus, seragam dan tersusun," kata surat-surat itu.

Ahmad Syukri menambah dalam surat itu bahawa Ketua AMK, Akmal Nasir akan melakukan rundingan untuk melantik kepemimpinan baru di Selangor dan Perlis.

Pemimpin yang dipecat juga diberikan alasan yang sama.

Pemimpin lain yang dipecat adalah penolong setiausaha AMK, Naqib Nasaruddin, yang berkata dia terkejut ketika menerima surat berkenaan kerana merasakan dirinya dipecat tanpa sebab.

"Mungkin ada kaitannya dengan beberapa isu politik yang berkaitan dengan perubahan kerajaan tetapi saya tidak tahu mengapa mereka memilih masa ini untuk membuat langkah seperti itu," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Najwan memberitahu Malaysiakini bahawa walaupun dia terkejut dengan pembubaran kepemimpinan AMK Selangor, namun dia menerima keputusan itu kerana ia adalah hak prerogatif ketua AMK.

 "Saya adalah orang parti dan saya menerima keputusannya. Saya akan terus berkhidmat untuk pengundi dan parti saya, untuk memperkukuhkan parti saya, terutama di Selangor, ”katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Azam mengesahkan dia telah menerima surat pemakluman pembubaran kepemimpinan AMK Perlis, namun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Syed Badli Shah dalam kenyataannya di Facebook berkata terdapat usaha "mensabotaj" Anwar sebagai presiden parti.

Bagaimanapun, Syed Badli Shah berkata usaha itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada parti.

"Kita tidak sedikit pun tergelincir untuk mempertahankan presiden daripada anasir luar dan juga sabotaj dalaman. Kita tetap berdiri, bangun dan lawan.

“Seperti mana kita lawan puak pengkhianat, kini kita lawan puak yang nak sabotaj parti. Anda mahu menari, mari kita menari saudara," katanya.

Malaysiakini dalam usaha menghubungi Akmal, Rafizi dan Farhash untuk mendapatkan maklum balas mereka.

Tiada ulasan: