HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Jun 2021

Ahmad Zahid penentu pembentukan jajaran baharu dengan PH, kata Abdullah Sani

Muhammad Azizul Osman
Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid
Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dilihat sebagai kunci kepada pembentukan jajaran baharu antara parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh terdekat.

Menurut Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahmad Zahid boleh memainkan peranan untuk melunaskan segera kerangka yang dirancang untuk membantu menyelamatkan negara.

Beliau berkata, Ahmad Zahid boleh membuat keputusan untuk menggunakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk meminta ahli-ahli Parlimen UMNO untuk keluar dari kerajaan sekiranya tuntutan beliau kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar sidang Parlimen dipanggil dalam tempoh 14 hari tidak dipenuhi.

“Ahmad Zahid boleh mengambil peranan itu. Bagaimanapun saya tidak boleh mencampuri urusan UMNO, tetapi merasai kebertanggungjawaban itu perlu digalas semua pihak.

“Jadi selepas Ahmad Zahid membuat keputusan, maka tidak ada masalah jajaran baharu boleh dibentuk demi negara dan rakyat. Terpulang kepada Ahmad Zahid untuk membuat keputusan, semua bergantung kepada beliau.

“Kita sentiasa bersedia bila-bila masa saja juga tidak sabar untuk bersama UMNO atau tidak kira siapa sahaja atau mana-mana parti sekali pun termasuk parti bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdullah Sani berkata, kini semuanya terletak di tangan Ahmad Zahid untuk membuat keputusan ke arah itu.

Katanya, jika UMNO menarik diri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN), secara automatiknya kerajaan sedia ada akan runtuh.

“Kalau sekiranya ahli-ahli Parlimen UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, Alhamdulillah. Kita mengharapkan sedemikian. Apabila Ahmad Zahid menyebut jajaran baharu yang diperkenalkannya, tentulah langkah mengkiblatkan kepada negara ini dibina semua dan menyelamatkan negara.

“Jadi tidak ada masalah kerana dalam konteks menyokong itu bukan bermakna membeli orang dengan jawatan-jawatan dan sebagainya. Sudah memadai ia diberikan keinsafan kepad ahli Parlimen bahawa negara ini sudah berada dalam keadaan kerosakan luar biasa dan tidak boleh lagi diselamatkan kalau diteruskan PN memerintah,” katanya.

Jelas Abdullah Sani lagi, Ahmad Zahid sebelum ini telah menzahirkan bahawa beliau tidak boleh menghalang mana-mana ahli Parlimen UMNO untuk menyokong sesiapa pada peringkat awal.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menyatakan pendirian tegas parti mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: