HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Jun 2021

Jika tak terima bekalan, PPV di Selangor terpaksa ditutup

Pegawai perubatan memberikan suntikan Vaksin Covid-19 kepada orang ramai yang terpilih pada Program Imunisasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“JAWABLAH kepada Allah, YB Menteri.”

Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud yang menegaskan bahawa negeri itu sememangnya menghadapi masalah bekalan vaksin COVID-19.

Lebih membimbangkan, kata Dr. Siti Mariah, beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor mungkin terpaksa berhenti operasi sekiranya negeri berkenaan tidak menerima bekalan baharu.

Dalam ciapan di akaun Twitter miliknya, Dr. Siti Mariah berkata, kapasiti vaksinasi semasa di semua PPV seluruh Selangor adalah berjumlah 87,616.

Secara purata, kata beliau, jumlah vaksin harian yang diberikan adalah sebanyak 50,000 bagi satu dos dan 20,000 lagi bagi suntikan dos kedua.

“Sekiranya tiada vaksin tambahan tiba menjelang esok, beberapa PPV terpaksa ditutup.

“Diskriminasi terhadap Selangor, seluruh negara akan merana. Anda jawablah kepada Allah, YB Menteri,” katanya dalam ciapan itu hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Siti Mariah berkata, kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sentiasa bekerjasama rapat dalam hal pemberian vaksin.

“Kita bendung kluster kilang di Selangor dengan memberi vaksin kepada mereka, kita boleh bendung COVID-19 seluruh negara.

“Vaksinasi bersasar adalah caranya. Kita memerlukan lebih banyak bekalan vaksin menteri. Tolong dengar,” jelas beliau.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata Selangor tidak mempunyai masalah berkaitan bekalan vaksin sebaliknya berdepan isu kapasiti.

Kata beliau, Selangor sepatutnya mempunyai kapasiti untuk memberi vaksin kepada lebih 100,000 individu sehari tetapi hanya mampu menyuntik kira-kira 20,000 hingga 50,000 dos sehari setakat ini.

Malah, Khairy berkata, pengagihan vaksin di Selangor telah pun ditingkatkan mulai bulan ini dan Julai nanti dengan negeri tersebut menerima lebih 20 peratus daripada keseluruhan bekalan vaksin.

Walau bagaimanapun, Khairy mengakui beberapa PPV berdepan kekurangan bekalan disebabkan kadar penggunaan vaksin yang tinggi.

Tiada ulasan: