HALAMAN SANTAI

Ahad, 12 September 2021

Anwar tak hubungi anak murid tanya kenapa calonkan Ahmad Maslan?


Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai cikgu kepada anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya boleh menelefon dan berbincang dengan Presiden UMNO itu berhubung isu pencalonan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat baharu.

Ketua Pembangkang tersebut tidak perlu berlagak seolah-olah menolak pencalonan Setiausaha Agung UMNO tersebut walhal sebagai seorang Cikgu berhak untuk menasihati anak muridnya tersebut agar tidak membuat keputusan yang hanya akan mencalarkan imej Parlimen Malaysia, memandangkan Ahmad berada dalam ‘kluster mahkamah’.

Bagaimanapun, mengambil kira senario politik semasa selepas Anwar gagal mendapatkan sokongan anak muridnya untuk menjadi Perdana Menteri (PM) kesembilan, mungkin hubungan kedua-dua mereka sudah renggang dan mungkin tidak lagi berhubungan antara satu sama lain.

Namun, terdapat andaian daripada sudut politik sebenarnya blok pembangkang menyokong pencalonan Ahli Parlimen Pontian tersebut tetapi cuba memberi gambaran seolan-olah tidak menyokongnya kepada umum.

Sekiranya blok pembangkang komited dan bersungguh-sungguh mahu institusi Parlimen diperkukuhkan, sepatutnya mereka tidak mencalonkan seorang wakil DAP iaitu MP Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai calon kepada lawan mereka.

Anwar selaku ketua dalam Pakatan Harapan (PH) bertindak mencalonkan pemimpin DAP tersebut yang mungkin juga cenderung dengan parti diwakilinya, sepatutnya pembangkang mencari calon yang neutral dan tidak cenderung kepada parti politik.

Keputusan mencalonkan Kor Ming dilihat sengaja dibuat bagi memastikan Ahmad mendapat sokongan majoriti untuk memenangi undian di Dewan Rakyat nanti.

Blok pembangkang sebenarya mempunyai lebih ramai calon yang layak untuk bersaing dengan Ahmad, pemimpin seperti MP Shah Alam Khalid Samad, MP Sepang Mohamed Hanipa Maidin dan banyak lagi sepatutnya menjadi calon bagi PH tetapi sebaliknya mencalonkan seorang wakil DAP.

Untuk rekod, satu daripada dua jawatan Timbalan Speaker kosong selepas peletakan jawatan yang disandang Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, tindakan tersebut dilakukan bagi memberi ruang kepada kerajaan dan pembangkang untuk menetapkan kembali fungsi Parlimen.

Tetapi, pencalonan Ahmad sebagai Timbalan Speaker menimbulkan kontroversi memandangkan beliau adalah wakil rakyat dari UMNO.

Ahmad sudah didakwa di mahkamah kerana memberikan maklumat palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain turut didakwa bersabit tuduhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) selepas menerima sebanyak RM2 juta daripada bekas PM Datuk Seri Najib Razak.

Tiada ulasan: