HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 September 2021

Gambar program lama dikongsi dalam Facebook, kata Guan Eng


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi penjelasan gambar program lama dikongsi dalam hantaran Facebooknya sebelum 31 Ogos, ia selepas beliau didakwa melanggar kuarantin kendiri dengan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan keluar ke tempat awam untuk mengedarkan bakul makanan.

Guan Eng yang berdepan kritikan susulan penangguhan kes mahkamahnya kerana sedang menjalani kuarantin tetapi dalam hantaran Facebooknya berkongsi gambar program sehari sebelum kes mahkamahnya yang sepatutnya bersambung semalam.

Katanya, hantaran Facebook pengedaran bakul makanan itu dilakukan beberapa kali pada atau sebelum 31 Ogos di kawasan Parlimennya di Bagan.

“Hantaran Facebook pengedaran bakul makanan dibuat bukan pada hari yang sama, tetapi beberapa hari selepas acara itu diadakan.

“Wakil rakyat parti DAP antaranya Phee Boon Poh, Soon Lip Chee dan M Sateesh yang hadir bersama dan penerima bantuan juga dapat mengesahkan pengedaran bakul makanan itu dilakukan pada atau sebelum 31 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga berkata hanya diberitahu berkemungkinan menjadi kontak rapat dengan seorang pesakit positif Covid-19 pada 1 September lalu ketika menghadiri sidang DUN pada keesokan harinya.

Terdahulu, perbicaraan kes Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang ditangguhkan kepada 22 September ini, selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Peguam Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah, anak guamnya diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September ini.

Tiada ulasan: