KUALA LUMPUR:
Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan
Negara (MPN) membuktikan segelintir pihak bahawa dakwaan kerajaan lalu
gagal adalah tidak tepat.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad
Fadhli Shaari, beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu tindakan
yang tepat memandangkan Muhyiddin mempunyai pengalaman dalam mentadbir
negara.
“Saya menyifatkan tindakan ini sebagai sesuatu pilihan yang tepat terhadap individu yang mempunyai pengalaman di dalam mentadbir negara. Saya kira ini membukikan bahawa kerajaan yang lepas ini bukan kerajaan yang gagal.
“Kerana kalaulah ia merupakan kerajaan yang gagal, sudah tentu pelantikan ketua kepada kerajaan yang gagal itu, saya rasa akan dibantah oleh mana-mana pihak.
“Tetapi ternyata sekali, di antara pihak-pihak yang menyatakan bahawa kerajaan lepas sebagai kerajaan yang gagal, ternyata setuju dengan pelantikan yang dibuat oleh kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Justeru itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin bukan kerajaan gagal seperti yang didakwa segelintir pihak.
” Jadi saya kira suara-suara yang menyatakan kerajaan yang gagal, yang lepas gagal, saya kira perlu berhenti dan kita sama-sama fokus kepada usaha untuk hendak memulihkan negara daripada Covid-19,” ujarnya.
Pada 4 September, Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.
Mohd Zuki memaklumkan, jemaah menteri yang bermesyuarat pada 1 September lalu telah bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Negara memaklumkan pelantikan itu telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada hari sama, Munhyiddin memaklumkan sedia menjalankan tugas sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.
Menurut beliau, kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan merupakan amanah untuk beliau meneruskan segala usaha dan perancangan yang dimulakan sebelum ini bagi memulihkan negara daripada kesan wabak Covid-19. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan