HALAMAN SANTAI

Isnin, 13 September 2021

Khaled Nordin jangan kuat auta macam Zahid, kata Naib Presiden Bersatu


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin diingatkan supaya tidak kuat auta seperti Presidennya yang banyak memutarbelit fakta demi kepentingan politik, kata Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Naib Presiden Bersatu itu berkata Khaled yang kalah dalam pilihan raya umum lalu jangan menipu fakta bahawa kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah angkara tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menarik sokongan bersama 14 Ahli Parlimen (MP) UMNO lain.

“Tan Sri Muhyiddin kata beliau mesti letak jawatan apabila 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadapnya. Ini fakta.

“Tetapi Khaled Nordin pusing cerita kononnya Tan Sri Muhyiddin letak jawatan bukan kerana 15 Ahli Parlimen UMNO tarik sokongan, tetapi sebab rakyat tidak suka kepadanya. Ini auta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafiq juga membidas Khaled yang mendakwa kononnya Muhyiddin tidak mendapat sokongan rakyat menyebabkan peletakan jawatannya, ia juga satu lagi pembohongan fakta cuba mengelirukan rakyat.

“Kajian persepsi awam yang dibuat oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM mendapati 92 peratus responden tidak bersetuju Tan Sri Muhyiddin letak jawatan.

“Jadi rakyat mana yang Khaled Nordin cakap ni?” ujarnya lagi.

Menurut Rafiq lagi, Khaled sepatutnya bersyukur kerana langkah Muhyiddin yang tidak berdendam dan mempunyai kepentingan peribadi berjaya menyelamatkan kerajaan daripada jatuh kepada blok pembangkang.

“Tan Sri Muhyiddin kata kalau dia tak sokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri (PM), Pakatan Harapan (PH) dan kumpulan kleptokrat berkemungkinan akan memerintah. Ini pun fakta.

“Kalau kita masih ingat, PH plus mempunyai 105 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Jika dicampur 15 Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin, jumlahnya 120. Nak bentuk kerajaan cuma memerlukan sokongan 111 daripada 220 Ahli Parlimen. (Nota: dua kerusi Parlimen iaitu Gerik dan Batu Sapi kosong). Jadi, kenyataan Tan Sri Muhyiddin ini amat munasabah.

“Tetapi Khaled Nordin kata Tan Sri Muhyiddin ‘desperate’ atau dalam Bahasa Melayu terdesak tidak mahu PH memerintah,” bidasnya lagi.

Ujarnya lagi, nada dan tindak-tanduk pendirian Khaled tersebut mendedahkan UMNO sebenarnya mahu membentuk Jajaran Baharu yang pernah didedahkan sendiri oleh Zahid sebelum ini.

“Atau memang niat Khaled Nordin mahu supaya PH memerintah dalam Jajaran Baru?

“Bagi saya kenyataan Khaled Nordin ini seolah-olah mengesahkan komplot Jajaran Baru ini. Jadi, bila Ismail Sabri dengan sokongan Tan Sri Muhyiddin dan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional dilantik sebagai Perdana Menteri, perancangan mereka gagal. Sebab itulah Khaled Nordin tidak puas hati dengan langkah Tan Sri Muhyiddin ini agaknya?” kata beliau.

Untuk rekod, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dikaitkan terlibat dalam komplot bersama Zahid yang dianggap anak muridnya menerusi klip audio perbualan tular kedua-dua mereka sebelum ini.

Malah, Zahid dan rakannya, Datuk Seri Najib Razak juga menghantar surat menyokong Anwar sebagai calon PM tahun lalu kepada pihak Istana Negara, ia menjadi punca kemelut politik yang berterusan.

Tiada ulasan: