HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 September 2021

Mahkamah arahkan Anwar failkan pembelaan dalam saman cabul selewatnya 28 September

MALAYSIA NOW

Sementara bekas pembantunya Muhammed Yusoff Rawther diberikan masa sehingga 13 Oktober untuk memberikan jawapan balas.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan masa kepada Anwar Ibrahim sehingga 28 September untuk memfailkan pembelaan dalam saman bekas pembantunya yang menuduh pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mencabulnya tahun lalu.

Mahkamah juga memberikan Muhammed Yusoff Rawther sehingga 13 Oktober untuk memberikan jawapan balas kepada pembelaan itu.

Keputusan itu dibuat timbalan pendaftar Ida Mas Liza Maarof semasa pengurusan kes saman tersebut hari ini dengan sesi seterusnya ditetapkan pada 29 Oktober.

Pada 15 Julai lalu, Yusoff, 28 memfailkan saman terhadap Anwar sekali gus mendedahkan butiran yang mengejutkan berhubung sebuah insiden yang berlaku di rumah presiden PKR itu di Bukit Segambut.

Berdasarkan pernyataannya, Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku 10 hari sebelum Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada 13 Oktober 2018.

Katanya, beliau mengalami trauma selain gangguan fizikal, psikologi dan sosiologi akibat insiden tersebut.

Yusoff memohon deklarasi mahkamah bahawa pemimpin PKR itu melakukan serangan seksual tersebut, selain menuntut ganti rugi umum, teladan dan teruk termasuk kos sesi terapi yang sedang dihadirinya.

Yusoff berkata, dia bekerja di pejabat rumah Anwar di Bukit Gasing, Petaling Jaya dan dibenarkan untuk menginap di situ, selain diberi tugasan penyelidikan berkaitan dasar, menyediakan teks ucapan serta menyambut kedatangan wakil orang kenamaan.

Dia turut memfailkan saman sivil secara berasingan terhadap dua individu lain sebagai tuntutan ganti rugi kecederaan dan kenyataan fitnah.

Yusoff mendakwa diserang oleh setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak tujuh bulan sebelum insiden serangan seksual terbabit.

Yusoff mula membuat dakwaan itu menerusi pengakuan bersumpah pada November 2019.

Dia turut membuat laporan polis yang kes tersebut disiasat selama beberapa minggu oleh Bukit Aman di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Semasa menjalankan siasatan, Yusoff dipanggil oleh pihak polis untuk melakukan ujian poligraf selama empat jam di Bukit Aman.

Bagaimanapun, Anwar enggan melakukan ujian tersebut.

Pada 14 Januari 2020, Jabatan Peguam Negara, yang pada masa itu diketuai oleh Tommy Thomas, berkata Anwar tidak akan didakwa berikutan “kekurangan bukti” dan berlaku “pencanggahan” fakta.

Tiga hari kemudian, Anwar memberitahu akan memfailkan saman fitnah terhadap Yusoff berhubung pengakuan bersumpah tersebut, namun sehingga kini beliau masih belum berbuat demikian.

Tiada ulasan: