HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 September 2021

Malaysia sokong penyelesaian politik oleh rakyat Afghanistan, kata menteri

Saifuddin Abdullah turut mengumumkan sumbangan kewangan daripada 
Malaysia sebanyak USD100,000 bagi membantu dan menyokong rakyat 
Afghanistan. (Gambar AP)

PUTRAJAYA: Menteri Luar Saifuddin Abdullah menrakamkan sokongan Malaysia kepada proses inklusif yang dipimpin, dimiliki serta dikawal oleh rakyat Afghanistan sendiri ke arah penyelesaian politik berkekalan demi keamanan dan keselamatan negara itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) awal pagi ini, Saifuddin juga menggesa agar hak asasi manusia dan kebebasan asasi di Afghanistan dihormati, termasuk penyertaan penuh dan bermakna oleh golongan wanita, belia dan minoriti.

Saifuddin berkata demikian dalam Mesyuarat Menteri Peringkat Tinggi mengenai Situasi Kemanusiaan di Afghanistan anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secara maya pada Isnin.

Menteri luar negeri itu turut mengumumkan sumbangan kewangan daripada Malaysia sebanyak USD100,000 bagi membantu dan menyokong rakyat Afghanistan.

Semasa mesyuarat itu, beliau menekankan bahawa keselamatan, hak asasi manusia dan kebajikan seluruh warga Afghanistan dan warganegara asing di negara itu harus diberi keutamaan dan dilindungi di samping memastikan akses bantuan kemanusiaan yang segera dan selamat.

Mesyuarat tergempar anjuran António Guterres, setiausaha agung PBB itu bertujuan mengukuhkan solidariti masyarakat antarabangsa terhadap rakyat Afghanistan serta mengetengahkan keperluan mendesak untuk mendapatkan sumbangan dan sokongan masyarakat antarabangsa bagi mengatasi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di negara itu.

Setiausaha agung PBB menekankan keperluan sumbangan kewangan sebanyak USD604 juta bagi membantu 11 juta rakyat Afghanistan dalam tempoh masa empat bulan yang akan datang.

Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat itu mencerminkan solidariti Malaysia terhadap rakyat Afghanistan serta sokongan teguh Malaysia kepada pihak PBB dalam usaha menangani krisis kemanusiaan di Afghanistan, tambah kenyataan itu.

Tiada ulasan: