HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 September 2021

Penyata polisi pendidikan sebagai ‘jalan keluar’ kepada Covid-19, kata Maszlee

Maszlee Malik berkata, polisi tersebut telah diserahkan kepada menteri pendidikan 
dan menteri pengajian tinggi semalam, namun belum ada maklum balas setakat ini.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik mencadangkan penyata polisi pendidikan sebagai “jalan keluar” supaya pendidikan tidak lagi tertinggal susulan pandemik Covid-19.

Bekas menteri pendidikan itu juga berkata, penyata itu dicadangkan susulan tiada “master plan” yang dibuat sama ada semasa kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin dahulu mahupun kerajaan baharu kini.

“Saya telah mencadangkan agar kedua-dua Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Pengajian Tinggi untuk lahirkan satu pelan ataupun ‘master pelan’ untuk keluar daripada wabak dan juga pascawabak, tetapi selama 17 bulan kerajaan yang lalu kita dapati tidak ada pelan. Malah dalam Pelan Pemulihan (Negara) pun pendidikan hanya disentuh dengan begitu minimal sekali.

“Jadi saya telah melakukan usaha proaktif dengan melahirkan penyata polisi saya sendiri merangka pelan, cadangan ataupun proposal kepada kedua-dua Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melihat isu pendidikan prasekolah sehinggalah ke peringkat universiti,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Katanya, polisi tersebut telah diserahkan kepada Menteri Pendidikan, Radzi Jidin dan Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad semalam, namun belum ada maklum balas setakat ini.

“Saya terserempak dengan YB Noraini, dia belum memberi sebarang jemputan. Berkenaan dengan YB Radzi Jidin, saya belum bertemu dengannya hari ini dan saya tidak menerima apa-apa jemputan bukan daripada dia,” ujarnya lagi.

Jelas Maszlee, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk melahirkan satu pelan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menekankan aspek pendidikan dengan lebih serius.

Penyata Polisi Pendidikan dan Wabak Covid-19: Solusi Buat Malaysia oleh Maszlee dengan 65 halaman terbahagi kepada dua bab, iaitu bab pertama mengenai pelan pemulihan sepanjang pandemik Covid-19, sementara bab kedua menyentuh 12 cadangan untuk pelan jangka masa panjang pasca Covid-19 yang boleh dilakukan.

Tiada ulasan: