HALAMAN SANTAI

Khamis, 9 September 2021

Selepas 'terseksa' bersama Pandikar Amin, ini masa Wan Junaidi ubah Parlimen - Liew Chin Tong

Firdaus Azil
Selepas 'terseksa' bersama Pandikar Amin, ini masa Wan Junaidi ubah Parlimen - Liew Chin Tong
Para panelis dalam Forum -Agenda Reformasi Parlimen- anjuran Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), yang disiarkan hari ini.
 
KUALA LUMPUR: Usaha bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin untuk mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengikut struktur “jabatan” untuk memantau semua kementerian pada 2016, adalah sesuatu yang wajar dipuji, kata Ahli Dewan Negara Liew Chin Tong.
 
Pengarah Pendidikan Politik DAP itu berkata, malangnya, cadangan itu telah ditolak oleh Kerajaan Barisan Nasional itu, yang Pandikar sifatkan kepada beliau – “BN terlalu kuat ketika itu”.
 
Malah Chin Tong berkata, Pandikar sendiri mengakui sewaktu era beliau dan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Timbalannya, mereka sering berasa ‘terseksa bersama’.
 
“Pandikar dan Wan Junaidi merasai tekanan daripada pihak eksekutif, lebih-lebih lagi daripada menteri yang menjaga hal-ehwal pentadbiran Parlimen.
 
“(Sehubungan itu) saya berharap, setelah melalui pengalaman-pengalaman ini, Wan Junaidi bersedia menjadi seorang pemimpin yang transformatif untuk mengubah Parlimen ke arah yang lebih baik, dan meninggalkan legasi yang beliau sendiri boleh dibanggakan,” katanya lagi.
 
Beliau berkata demikian sewaktu menjadi panelis dalam Forum “Agenda Reformasi Parlimen” anjuran Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), yang disiarkan hari ini.
 
Turut menyertai forum itu ialah Pandikar sendiri, selaku mantan Speaker Dewan Rakyat dan Presiden USNO, serta Aktivis Politik, Atiqah Syairah Shaharuddin.
 
Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, Malaysia sewajarnya mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang telah dimansuhkan pada tahun 1992, bagi menyesuaikan institusi tersebut dengan keperluan semasa.
 
Antara pembaharuan yang disifatkan perlu, kata beliau lagi, ialah pemansuhan peranan Ketua Pentadbir Parlimen supaya tugas pentadbiran Parlimen dikembalikan kepada Setiausaha Dewan Rakyat dan Setiausaha Dewan Negara, seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan yang asal pada tahun 1957.
 
Beliau berkata, Akta Perkhidmatan Parlimen yang baharu perlu memperkasa Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Ketua pihak kerajaan dan pembangkang, di dalam kedua-dua Dewan, untuk menguruskan Parlimen secara bersama.
 
Selain itu, Chin Tong berkata, jawatan Menteri Hal-Ehwal Parlimen perlu dimansuhkan dan penjawatnya boleh mengambil alih tugas sebagai Ketua Majlis atau Leader of the House mengikut kaedah Westminster.
 
“Walaupun peranan ini disandang oleh Perdana Menteri sebelum ini tetapi ia tidak semestinya begitu. Kebanyakan badan perundangan berkonsepkan Westminster yang matang melantik seorang Menteri Kanan untuk menjadi Ketua Majlis,” katanya lagi.
 
Chin Tong berkata, beliau menyambut baik kenyataan Wan Junaidi selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pada 7 September yang meletakkan transformasi sektor kerajaan, transformasi sistem Parlimen, dan MA63 sebagai KPI dirinya dalam tempoh 100 hari.
 
“Secara khususnya, beliau memberi komitmen untuk menumpukan usaha memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen bagi mengembalikan kebebasan Parlimen, dan merangka satu akta baharu untuk menggantikan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
 
“Tetapi, seperti yang saya nyatakan di atas, banyak yang harus dilakukan untuk menjadikan Parlimen sebagai institusi yang berwibawa,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan: